KUALA LUMPUR- Golongan ibu bapa paling lega dengan kemudahan Internet yang disediakan kerajaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana inisiatif itu banyak membantu anak-anak komuniti ini dalam pembelajaran mereka.
Keprihatinan kerajaan meningkatkan akses jaringan Internet di PPR memudahkan proses pembelajaran dan kebolehan pelajar dalam mendapatkan akses pelbagai maklumat.
Perkara itu diakui seorang ibu, Nurshafinah Rahim Dollah yang menyifatkan kemudahan Internet di PPR banyak membantu pembelajaran empat orang anaknya.
“Sistem pembelajaran sekarang semakin canggih, semuanya di hujung jari. Sudah tentu kemudahan Internet ini cukup bermakna kepada anak-anak di PPR dan ibu bapa yang tidak mampu menanggung kos bil Internet.
“Dengan inisiatif ini, ibu bapa dapat berjimat dan anak-anak pula mudah mendapatkan keperluan untuk menyiapkan kerja sekolah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di PPR Kerinchi.
Menurut Nurshafinah, dengan adanya kemudahan itu, anak-anak di PPR juga tidak ketinggalan dari aspek teknologi digital.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan capaian Internet percuma di 56 PPR terpilih untuk manfaat komuniti setempat.
Seorang penduduk Rozaini Rakimin, 54, berpendapat, kemudahan Internet di PPR bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga kepada penduduk yang mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan dalam talian.
“Pada saya, Internet adalah satu keperluan bagi kehidupan sekarang. Bukan sahaja pelajar, tetapi ibu bapa yang berniaga juga memerlukan capaian Internet.
“Bagi peniaga online, ia memudahkan kami menerima tempahan. Memang bagus inisiatif kerajaan, terima kasih banyak-banyak,” ujarnya.
Sementara itu, Nitthiya Subramaniam, 38, turut gembira apabila kerajaan menyediakan kemudahan tersebut di tempat tinggalnya.
Dengan adanya kemudahan Internet di PPR, ia dapat memberi semangat kepada para pelajar untuk bersaing sama rata dalam bidang akademik kerana mereka diberi akses pada kemudahan yang serupa.
Inisiatif ini juga memberi peluang keemasan kepada para penghuni B40 untuk terlibat dalam perniagaan, sekali gus dapat menjana pendapatan dan memperbaiki ekonomi keluarga di PPR.
“Pada saya, kemudahan ini membuktikan kesungguhan kerajaan yang sentiasa memperbaiki kehidupan dan kesejahteraan penduduk PPR.
“Saya sendiri terharu dengan usaha kerajaan memastikan penghuni PPR tidak dipinggirkan dalam arus kemajuan teknologi pada masa kini,” katanya yang berharap kemudahan ini diperluaskan di semua PPR.
Suri rumah ini turut menaruh harapan agar penduduk PPR menghargai kemudahan yang diberikan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat. – MalaysiaGazette