Najwan (kiri) beramah mesra dengan penduduk dan peniaga sekitar kawasan perniagaan Alam Budiman, Seksyen U10, Shah Alam.

SHAH ALAM – Penyandang kerusi DUN Kota Anggerik, Najwan Halimi teruja dengan sambutan serta penerimaan positif penduduk dalam kawasan itu sepanjang turun berkempen.

Beliau yang dicabar calon Pas, Mohamed Sukri Omar pada 12 Ogos ini berkata, pertemuannya dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk peniaga mendorongnya untuk terus beriltizam membantu rakyat jika diberi peluang sekali lagi.

Katanya, berbekalkan pengalaman dan trek rekod sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat Kota Anggerik sebelum ini, beliau percaya pengundi akan menilai dengan sewajarnya.

“Melihat sambutan ini, saya percaya mereka akan memberikan kepercayaan kepada saya dan Pakatan Harapan (PH) untuk terus mewakili suara mereka di Dewan Negeri Selangor.

“Saya bersedia untuk terus menabur khidmat dan bakti kepada warga Shah Alam khususnya DUN Kota Anggerik,” katanya di sini, hari ini.

Najwan, 38, yang merupakan anak jati Shah Alam memulakan kerjayanya sebagai jurutera mekanikal di UiTM Shah Alam pada 2008, sebelum menyertai sektor awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang ditempatkan di Kementerian Pengangkutan pada 2009.

Kata beliau, rakyat di DUN Kota Anggerik dan Selangor khususnya perlu mengekalkan Kerajaan PH dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ini jika mahukan kehidupan mereka terjamin.

“Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari telah membentangkan rangka kerja kerajaan negeri untuk tempoh lima hari bermula penggal ke-15 ini.

“Tawaran Kita Selangor, lima tekad untuk lima tahun harus direbut oleh seluruh rakyat negeri ini demi masa depan mereka dan anak-anak.

“Ini bukit komitmen serius kita untuk meneruskan kejayaan serta kesinambungan pentadbiran Kerajaan negeri sejak 2008,” katanya.

Bekas Pegawai Khas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2010 ini pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor pada 2016 dan ADUN Kota Anggerik selama tiga penggal.

Petang ini, kira-kira jam 5.30, beliau akan merasmikan pembukaan cawangan baharu Restoran Nasi Kandar Alor Setar di Tadisma Business Park, Seksyen 23, di sini.

Selepas itu, Najwan bersama kariah akan solat Maghrib di Surau Khalid Al-Walid IPK Selangor, Seksyen 9. – MalaysiaGazette