KUALA SELANGOR – Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kampung Ujung Permatang, di sini, diserbu orang ramai hingga jualan itu terpaksa ditutup lebih awal.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, JER yang menawarkan barang keperluan pada harga lebih rendah daripada harga pasaran menarik minat rakyat Selangor, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup melambung ketika ini.
Menurut seorang warga emas, Hamidah Idris, 65, dia memperoleh penjimatan belanja dapur sehingga RM5 hingga RM9 setiap kali membeli-belah barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, ikan dan daging dalam jualan itu.
“Barang-barang sini semuanya murah, tempat lain tak dapat harga macam ini, kalau boleh selalulah buat dekat sini (Kampung Ujung Permatang).
“Banyak jimat, minyak RM25, ayam (RM10), telur (RM10), kalau kat kedai rasa macam mana (RM15 hingga RM18).
“Selalu saya beli kat Tanjong Karang RM30, tak ada yang murah. Ayam di sini seekor RM10, bolehlah. Kalau dekat kedai, seekor kadang-kala lebih (RM10) hingga RM19-RM20,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi Norazaliza Mohd Saad, 43, harga barang keperluan yang dijual dalam JER sangat berpatutan dan berbaloi kepada keluarga yang bersaiz besar dan dalam kalangan berpendapatan rendah (B40).
“Harga barang okay lah, berbaloi kalau ahli keluarga ramai bagi saya, beras kalau 5 kilogram (kg) baru RM10, selalu kat luar beli dalam RM28 bagi 10kg.
“Ayam murah RM10, daging RM10, minyak masak RM25. Ini kali keempat saya pergi (JER).
“Insya-Allah eloklah kalau bagi B40, sebab ekonomi (perlahan) semua barang harga mahal, memang naik mendadak saya tengok barang keperluan harian,” katanya.
Tambah beliau, kalau boleh program JER itu perlu diteruskan tidak terhad semasa musim pilihan raya sahaja.
“Kalau boleh diteruskan, kalau boleh harga barang-barang dikurangkan sebab saya tengok semua barang keperluan semua harga naik
“Barang basah memang harga naik, kalau beli barang duit RM50 sikit saja, kalau satu troli saya beli barang baru RM200 untuk keperluan dapur,” ujarnya.
Bagi seorang peniaga makanan, Rosiah Kasim, 63, jualan itu dapat membantu mengurangkan kos operasi perniagaan nasi lemak yang diusahakannya.
“Kalau untuk di kedai itu sekali turun RM450 hingga RM500, tidak tentu. Semuanya harga naik nak buat macam mana, bukan kita boleh buat sendiri, harga naik lemak tak naik pun, RM1.20 satu bungkus,
“Hari ini dapat tiga kampit beras, jadilah buat tambah-tambah, bukan banyak pun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette