Gambar hiasan

BAHANG kempen pilihan raya kian terasa selepas Suhuranjaya Pilihan Raya (SPR)
mengumumkan tarikh pembuangan undi pada 5 Julai lalu bagi beberapa negeri terlibat
untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Umum diadakan lima tahun lalu.

Fakta penting bagi PRN yang akan berlangsung pada 12 Ogos 2023 nanti iaitu SPR telah
menetapkan hari penamaan calon pada 29 Julai 2023, pengundian awal pada 8 Ogos 2023 dan hanya enam negeri terlibat iaitu Selangor yang memiliki 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Pulau Pinang (40), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32), dan Negeri Sembilan (36).

PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan
parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.

Gelagat penyokong fanatik terhadap parti politik menimbulkan pelbagai persepsi. Tidak
kurang yang menjadikan medium media baharu sebagai pentas untuk menjalankan kempen politik.

Kempen untuk meraih undi dibenarkan dan ia mestilah mengikut garius panduan dan
undang-undang yang telah ditetapkan dan berkuatkuasa.

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, keluar mengundi adalah suatu kewajipan
dan ia diistilah sebagai sumbangan kepada hala tuju negara.

Politik juga kadang-kala membuatkan hilangnya keharmonian yang telah subur dalam
masyarakat. Bukan sekadar itu, malah lebih teruk apabila provokasi yang keterlaluan antara penyokong parti politik menghamburkan kata-kata kesat, menggantung kain rentang yang berbaur fitnah, menyentuh isu perkauman, agama dan juga institusi raja.

Perselisihan pendapat terhadap parti politik merupakan resam. Perbezaan fahaman politik
antara satu sama lain tidak perlu melibatkan hubungan insani menjadi renggang. Setiap
individu mempunyai perspektif masing-masing untuk membuat penilaian terhadap kemampuan, halatuju, manifesto, koalisi parti yang disokong. Semua orang perlu bersikap terbuka dan berlapang dada untuk bersetuju atau tidak dengan pandangan orang lain tanpa menggugat keharmonian.

Terdapat juga keluarga berantakan gara-gara perbezaan fahaman politik hingga
menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi tegang. Juga berlaku ugut-mengugut dalam keluarga seperti suami memaksa isteri, ibu memaksa anak untuk menyokong kem politik yang dianuti.

Tidak dinafikan, keakraban sahabat juga menjadi renggang dek kerana fahaman politik
sempit. Berpolitiklah secara matang dan berkelas. Selagi ia tidak menyentuh perkara yang
ditegah agama, selagi itu kita boleh berselisih pendapat. Dengan kata mudah, ‘bersetuju
untuk tidak bersetuju’.

Golongan yang baharu saja layak membuang undi (undi 18) disaran untuk lebih peka
terhadap perkembangan politik semasa. Kelompok ini rata-rata digelar generasi ‘tik-tok’.
Gunakan kemajuan teknologi dan internet untuk mengkaji maklumat sesebuah parti dengan hikmah. Jangan leka, tunaikan tanggungjawab sebagai pemilih untuk menentukan parti politik yang akan menerajui pembangunan, kemajuan, kesejahteraan negeri dan negara.

Setiap warganegara yang layak, ayuh sama-sama tunaikan tanggungjawab sebagai
pengundi dan penting bagi setiap anak muda perlu mengambil kisah tentang hal-hal yang
berkaitan masa hadapan negara kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada negara,
tetapi kesan kepada kita juga sebagai rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Muhammad Amirul Shafiq Kadri