KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,843 rayuan daripada pegawai perubatan untuk kekal dengan penempatan sedia ada dan bertukar ke tempat lain yang diterima Kementerian Kesihatan (KKM) .
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, rayuan yang mempunyai asas kukuh diluluskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan.
“Setelah diteliti justifikasi yang dikemukakan, mengambil kira kesinambungan perkhidmatan secara menyeluruh dan faktor kekosongan jawatan, rayuan yang mempunyai asas kukuh telah diluluskan dan keputusan rayuan telah dimaklumkan kepada pegawai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujarnya, mesyuarat yang dua kali bagi mempertimbangkan rayuan itu dianggotai oleh wakil Bahagian Perkembangan Perubatan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga dan Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam dengan Bahagian Sumber Manusia sebagai urus setia.
Mewakili kementerian tersebut, beliau menghargai semua pegawai perubatan serta pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang telah melaporkan diri ke tempat bertugas baharu pada 31 Julai 2023 kerana mendahulukan kepentingan perkhidmatan.
“Melalui penempatan baharu ini, pegawai akan memperoleh lebih pendedahan mengenai sistem kesihatan dan berupaya membangunkan kapasiti diri. Pengalaman ini akan menjadikan pegawai lebih matang, empati dan berdaya tahan dalam mengharungi kerjaya sebagai penjawat awam,” jelasnya.
Sebagai rekod, pada 2022 pelantikan pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap dilaksanakan secara besar-besaran dan diteruskan tahun ini dengan penawaran pelantikan tetap berdasarkan 4,263 kekosongan jawatan tetap di fasiliti kesihatan di seluruh negara.-MalaysiaGazette