Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib

KUALA LUMPUR – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) kini menawarkan produk pembiayaan pendidikan yang dinamakan Pembiayaan Pendidikan-i MBSB Bank (EduFin-i).

Ia sebagai salah satu pilihan sokongan kewangan kepada mereka yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

EduFin-i oleh MBSB Bank yang berasaskan konsep Murabahah Komoditi memiliki cadangan penjualan unik (USP) yang menarik seperti tempoh pembiayaan maksimum sehingga 25 tahun dan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000 dengan margin sehingga 95% daripada jumlah yuran pengajian.

Selain itu, EduFin-i juga membenarkan pemohon bersama yang boleh dipohon oleh dua ahli keluarga terdekat, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

EduFin-i juga dilengkapi dengan perlindungan takaful dan ansuran penuh yang hanya bermula selepas tamat tempoh pengajian.

Semasa majlis pelancaran EduFin-i yang diadakan di Menara MBSB Bank di PJ Sentral hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, masyarakat yang
berpendidikan mewujudkan tenaga kerja yang mahir dan cekap, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

“Pendidikan bukan sahaja memainkan peranan asas dalam membentuk keperibadian seseorang malah meningkatkan kemahiran dan memupuk nilai murni.

“Pendidikan juga boleh membebaskan individu dan keluarga mereka daripada kemiskinan, membuka pintu kepada peluang pekerjaan yang lebih baik serta peningkatan taraf hidup,” katanya.

Tambah Datuk Nor Azam lagi, sebagai sebuah bank Islam sepenuhnya, pihaknya bukan sahaja komited dalam menawarkan produk serta perkhidmatan patuh syariah tetapi juga komited terhadap kesejahteraan masyarakat terutamanya dalam pembangunan pembelajaran.

“Kami akui bahawa pendidikan tertiari mewujudkan kebolehpasaran yang lebih tinggi dalam kalangan para graduan manakala kepada golongan yang sudah berkerjaya, pembelajaran berterusan menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam peningkatan karier.

“Sehubungan dengan itu, kami yakin pelancaran EduFin-i akan diterima baik oleh kumpulan sasar kerana ia meringankan komitmen kewangan yang perlu ditanggung apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi,” ujarnya.

Proses permohonan yang efisien dan pengeluaran yang cepat untuk menyediakan sokongan kewangan yang tepat pada masanya akan membolehkan para pelajar menumpukan perhatian kepada program pendidikan yang diingini tanpa sebarang
penangguhan.

Majlis pelancaran itu dihadiri wakil utama dari Management Science University (MSU), MAHSA University, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya Centre for Continuing
Education (UMCCed), International Medical Universiti, Brickfields Asia College (BAC), ADMAL Aviation College, BATS Aviation, Malaysia Airlines Engineering Academy, Aero Malaysian Engineering Centre (AMEC), Malaysian Flying Academy, Layang Layang Academy, UTMSPACE, KLIA College, KPJ College, Penang Dental College dan lain-lain lagi.

Sementara itu, organisasi lain yang turut hadir termasuk Yayasan Angkasa, Global-i Exceed Management Sdn. Bhd. dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut mengenai EduFin-i oleh MBSB Bank dengan melayari www.mbsbbank.com dan boleh memohon di semua cawangan MBSB Bank di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast