Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

NIBONG TEBAL – Peluang untuk Perikatan Nasional (PN) dipilih sebagai Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 12 Ogos ini amat cerah.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, momentum dalam kalangan rakyat kini lebih jelas dan bersedia untuk membuat perubahan serta mengangkat PN sebagai kerajaan negeri.

Katanya, beliau berharap agar jentera PN terus mengatur strategi dan bekerja keras dalam tempoh lapan hari berkempen yang masih ada sekarang.

“Saya yakin tentunya rakyat di bawah sana bersatu agar aspirasi untuk mengangkat Perikatan Nasional menang bergaya dan cemerlang dalam PRN enam negeri dapat direalisasikan.

“Kali ini, yang jelas kita tengok adalah mood rakyat kita lebih jelas dan ketara memihak kepada PN berbanding pada PRU15 lalu.

“Mungkin gabungan Perpaduan yang dibentuk antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) itu tidak menghasilkan mood yang positif dalam kalangan rakyat.

“Kita berharap sangat agar mood ini kekal sehingga hari terakhir kempen dan diterjemahkan dalam bentuk undi menjelang 12 Ogos ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh di sini hari ini.

Tambahnya, jika diteliti PN ada kelebihan dan pihak lawan mempunyai kekurangan menerusi kerjasama Perpaduan PH-UMNO memandangkan ia adalah ‘taste‘  gabungan berkenaan yang dibuat secara convenient politik’ tanpa memikirkan masyarakat serta pengundi boleh menerima atau sebaliknya.

Beliau juga secara peribadinya berpandangan fitnah tidak berasas kononnya PN sentiasa memainkan isu perkauman dan sebagainya yang dilemparkan oleh PH-BN dalam kempen ini merupakan satu taktik licik lawannya yang cuma mengalih pandangan politik dan isu sebenar.

“Jelas sekali sama ada masyarakat Melayu, Cina dan India kini menunjukkan sokongan lebih padu terhadap PN dan rakyat telah melihat tempoh lapan bulan kerajaan pimpinan PMX, bagaimana pendekatan mereka terhadap permasalahan rakyat terutama kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi agar tidak memberangsangkan.

“Selepas lapan bulan pemerintahan Anwar Ibrahim rakyat dapat menilai tindakan-tindakan tidak konkrit dan tidak membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup. dan menjadikan PRN ini satu referandum terhadap kepimpinan dan pentadbiran PMX dan bakal diterjemah dalam bentuk undi kepada PN” ujarnya.

Tegasnya, Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang mempunyai peluang menyatakan suara mereka terhadap tindakan atau pendekatan yang diambil Kerajaan Persekutuan menangani masalah pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup negara yang agak malap.

Pada masa yang sama Ahli Parlimen Beluran dari Sabah itu juga optimis PN boleh mempertahankan tiga negeri yang berada di bawah kepimpinannya sekarang dan berusaha gigih untuk mengejut PH dengan mengambil alih Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette