Sivakumar bersama calon PH DUN Perai Datuk Seri Sundarajoo Somu semasa walkabout menyantuni pengundi di kawasan Jalan Perai di sini petang tadi.

PERAI – Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) diyakini mencatatkan kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN), seterusnya membentuk kerajaan di Pulau Pinang.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, walaupun PH lebih bersedia untuk berdepan Perikatan Nasional (PN) namun ia tidak boleh mengambil mudah lawannya itu bagi mendaopat sokongan pengundi.

“Saya juga melihat majoriti pengundi di kawasan ini (Perai) iaitu 51.4 peratus Cina dan 36.22 peratus pengundi India dan saya rasa DAP tidak seharusnya mempunyai masalah untuk menang dan membentuk kerajaan negeri selepas PRN nanti,” katanya.

Sundarajoo menyantuni pengundi di Jalan Perai semasa walkabout bersempena PRN 12 Ogos ini.

Beliau berkata demikian selepas berkempen bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, Datuk Seri Sundarajoo Somu di Jalan Perai, Taman Inderawasih, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tindakan bekas ahli DAP yang bertanding atas tiket bebas di Perai dan Bagan Dalam, Sivakumar berkata, ia tidak akan menjejaskan calon PH dalam meraih undi.

“Jika lihat trend politik Malaysia sekarang pengundi akan memilih calon berparti dan bukannya perseorangan atau bebas, sentimen pengundi semestinya calon berparti,” kata beliau. – MalaysiaGazette