KUALA LUMPUR – Peruntukan RM50 juta oleh kerajaan dalam Belanjawan 2023 bagi memastikan keselamatan di Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan keutamaan untuk menggantikan lif-lif usang sudah tentu melegakan para penduduk.
Menjadi antara penduduk PPR yang lama di Lembah Subang, sudah tentu peruntukan baik pulih yang diumum kerajaan itu menggembirakan Lokman Abdullah.
Menetap 18 tahun di PPR berkenaan, beliau berharap inisiatif kerajaan akan dapat menamatkan isu-isu berbangkit yang dialami penduduk terutama masalah lif rosak yang mengganggu urusan seharian mereka.
“Peruntukan baik pulih PPR ni memang kami alu-alukan, tepat pada masanya.. Sebagai penduduk PPR Lembah Subang, semua tahu masalah lif di sini yang selalu rosak. Dengan adanya peruntukan ini saya harap masalah ini akan berakhir,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Suri rumah, Siti Kalijah Nurbi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peruntukan penyelenggaraan lif usang dan rosak di PPR.
Katanya, sebelum wabak Covid-19 melanda negara, lif di PPR Subang pernah tidak dapat digunakan selama enam bulan tetapi keadaan kini semakin pulih.
“Saya harap sangat dengan adanya peruntukan yang diumum oleh perdana menteri, masalah lif rosak bukan lagi igauan ngeri kepada kami pada masa akan datang” ujarnya sambil menambah kekalutan penduduk kerap berlaku terutama waktu pagi ketika anak-anak dan ibu bapa berebut mahu ke sekolah dan pejabat.
PPR Lembah Subang mempunyai 17 tingkat bagi setiap blok.
Sementara itu, Mohd Rashid Johari turut menyambut baik usaha kerajaan meningkatkan keselesaan penduduk PPR dengan memberi peruntukan kepada kerja-kerja pembaikan lif.
Ini kerana, katanya, kerosakan lif yang kerap berlaku di PPR tersebut memberi kesan terutama kepada warga emas dan ibu mengandung.
Malah, paling menimbulkan kerisauan penduduk apabila berlaku kematian dalam kalangan penduduk kerana terpaksa mengusung jenazah menaiki tangga.
“Sebab itu, saya bersyukur dan gembira dengan peruntukan membaiki lif usang, rosak dalam Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri dan saya mohon kerja-kerja itu segera dilakukan,” tambahnya.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Amin Mokhtar berkata, pengumuman bajet untuk pembaikan lif di PPR menunjukkan kerajaan peka dengan masalah penduduk PPR di negara ini.
“Pengumuman itu memang kenalah pada masanya terutama bagi penduduk PPR Lembah Subang ini, saya sebagai penduduk ucap terima kasih kerajaan kerana mengambil berat masalah kami.
“Harapan kami kerja-kerja membaiki lif ini dapat disegerakan,” katanya.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM50 juta melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan keadaan yang selamat di PPR dengan keutamaan kepada mengganti lif-lif yang usang.
Beliau berkata, bagi mempercepatkan proses peroleh, had sebut harga perolehan kerja penyelenggaraan dan pembaikan lif ditingkatkan kepada RM1.2 juta berbanding RM500,000.- MalaysiaGazette