Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua kiri) mengiringi calon Pakatan Harapan N.18 Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli (kiri) berbual mesra dengan penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di Pasar Tani Keramat AU2, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 05 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 peniaga dan penjaja Pasar Tani Taman Keramat AU2 berada dalam dilema ekoran ura-ura tempat perniagaan mereka dikatakan akan dipindahkan ke lokasi lain.

Rata-rata peniaga kurang bersetuju dengan cadangan itu kerana mendakwa lokasi baharu tersebut didapati curam di kawasan berbukit.

Pengerusi Pasar Tani Taman Keramat AU2, Fatimah Abdul Rashid berkata, keadaan di lokasi yang dicadangkan tidak sesuai kerana akan menyukarkan pergerakaan peniaga dan penjaja serta pengunjung.

Justeru, katanya, peniaga dan penjaja pasar tani di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian dan Persekutuan (FAMA) itu meminta supaya lokasi pengoperasian pasar tani yang sudah bermula sejak lapan tahun lalu di kawasan sedia ada dikekalkan.

Pengerusi Pasar Tani Taman Keramat AU2, Fatimah Abdul Rashid

“Kita ada dapat berita daripada FAMA dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sudah beritahu tapak sedia ada ini kena pindahkan di lokasi baru yang kita dapati jalannya berkeadaan berbukit.

“Jalannya tak berapa cantik, agak curam. Penduduk di sana (cadangan tapak lokasi baru) juga tidak berpuas hati sebab tapak ini dicadangkan untuk dipindahkan ke sana.

“Jadi, peniaga rasa tak selesa, penduduk di sana pun tak selesa tapak perniagaan ini nak dipindahkan. Justeru kita memohon kepada pihak berkuasa tempatan supaya kekalkan tapak pasar tani ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program walkabout menyantuni pengunjung dan peniaga Pasar Tani Taman Keramat AU2 oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN), Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Juwairiya turut ditemani Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Naib Presiden UMNO dan Bendahari Agung BN.

Juwairiya ketika mengulas isu berkenaan berkata, perbincangan lanjut dengan pihak DBKL dan juga FAMA perlu dilakukan supaya kebajikan peniaga dan penjaja berkenaan terbela.

“Saya mendengar isu di tapak Pasar Tani Taman Keramat AU2 daripada dalam kalangan penjaja dan peniaga pasar tani ini. Isu pemindahan semula, sebenarnya ini tapak yang kedua.

“Disebabkan faktor pembangunan di sekitar, ada kemungkinan mereka dipindahkan semula. Jadi ini kita sedang lihat semula yang memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak DBKL dan juga Fama supaya kebajikan mereka terjaga.

“Sekiranya dipindahkan pun tetapi lokasi yang strategik dan membolehkan pelanggan mereka mudah datang sekali gus tidak menjejaskan mereka,” katanya.

Beliau turut dimaklumkan terdapat bantahan daripada penduduk di kawasan baru yang bakal dipindahkan dan oleh sebab itu perlu dilihat daripada kedua-dua aspek supaya tiada pihak teraniaya. – MalaysiaGazette