Cikgu Mi (tiga dari kanan) dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, Nik Saiful Adli Burhan (kiri) berjumlah dengan jentera UMNO dalam DUN Melor.

KETEREH – Tanpa menghiraukan tindakan sekumpulan kecil ahli UMNO dalam Bahagian ini keluar parti, calon BN DUN Melor, Azmi Ishak tetap komited meneruskan kempennya berjumpa pengundi.

Beliau yang pernah mengangkat Tan Sri Annuar Musa sehingga gah sebagai pemimpin parti dan diberi pelbagai jawatan menteri, tidak sedikit pun berasa goyah dengan tindakan mantan Ahli Parlimen Ketereh itu tinggalkan UMNO untuk bersama Pas.

Malah, katanya, sebagai calon dipilih pucuk pimpinan untuk memenangkan Kelantan dari penguasaan 33 tahun Pas, beliau tetap turun padang meraikan jentera yang siang malam bekerja keras untuknya.

“Malam tadi saya hadir meraikan jentera UMNO di Pos PDM Melor dan memberi sedikit kata-kata semangat kepada mereka.

“Selain itu, saya juga memberi penerangan berkaitan isu semasa kepada penduduk bahawa Kelantan perlu diubah dan diberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mencorakkan Pembangunan serta kemakmuran rakyat,” katanya.

Cikgu Mi (dua dari kiri) bertanya khabar penduduk dalam ziarah kasih di PDM Permatang Pusu, Melor.

 

Antara manifesto atau tawaran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN ke-15 ini ialah bantuan tahunan kepada institusi pondok dan tahfiz berdaftar serta mewujudkan Kolej Universiti Tahfiz al Quran dan Sains Kelantan.

Tawaran juga dibuat untuk menghapuskan tunggakan bil air AKSB, mewujudkan jawatan guru dan kelas al Quran percuma seluruh negeri serta bantuan perkahwinan sebanyak RM2,000 kepada pasangan anak Kelantan.

Selain itu, PH-BN juga menawarkan untuk menurunkan premium tanah sebanyak 50 peratus, mengkaji semula pemilikan dan pajakan tanah oleh syarikat untuk dikembalikan semula kepada rakyat dan menurunkan caj permohonan bekalan air domestik bagi kediaman.

Tawaran lain ialah menurunkan caj pecah sempadan dan ubah syarat tanah sebanyak 50 peratus, menambah perjawatan di semua Pejabat Tanah dan Jajahan, menurunkan bayaran docket tanah dan batuan sebanyak 50 peratus, menghapuskan bayaran sumbangan yang tidak munasabah untuk proses kebenaran membina rumah dan membina 500 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

“Alhamdulillah menarik sekali manifesto gabungan PH-BN yang ditawarkan kepada rakyat Kelantan.

“Sebab itulah masih ada yang istiqamah dalam perjuangan membela agama bangsa dan tanah air khususnya Kelantan tanpa ada kepentingan individu dan mereka yang kecewa serta cuba mematikan UMNO.

“Walaupun ahli akarl umbilah yang mengangkat mereka semua suatu masa dulu,” katanya.

Sepanjang kempen pada hari kelapan, Azmi yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mi turut hadir dalam program ziarah kasih di Kampung Bechah Keranji berjumpa saudara mara sambil bertanya khabar.

Beliau mengingatkan penduduk di situ bahawa perlunya perubahan dilakukan demi keselesaan anak cucu pada masa depan. – MalaysiaGazette