husam
Husam Musa

SEREMBAN – Kegagalan Pas mentadbir Kelantan dengan baik khususnya dari segi menguruskan bekalan air perlu dijadikan iktibar oleh rakyat Negeri Sembilan agar tidak memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa berkata, masalah bekalan air di Kelantan tidak selesai sejak zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu memberitahu, Kelantan berdepan dengan masalah itu kerana Air Kelantan Sdn Bhd diuruskan dengan begitu lemah.

“Tuan-tuan nak orang dengan rekod prestasi pengurusannya lemah dibawa jadi Kerajaan Negeri Sembilan.

“Nauzubillah tak payahlah, itu baru masalah air,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Bicara Serangkai Perpaduan di Ampangan di sini, malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Sehubungan itu, Husam berharap Negeri Sembilan akan kekal berada di bawah pentadbiran PH dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, kemenangan PH dan BN akan membolehkan Kerajaan Perpaduan mentadbir Negeri Sembilan dan negara agar terus makmur dan stabil.

“Kalau tuan-tuan tak nak Negeri Sembilan jadi macam Kelantan, jangan tersalah pilih,” jelasnya. – MalaysiaGazette