KUALA LUMPUR – Seramai 29 pemenang bertuah kempen ‘Jom Cuti Sakan Bersama Kopetro Travel’ anjuran Kopetro Travel & Tours Sdn. Bhd. edisi kedua telah diraikan dalam satu majlis baru baru ini.
Pengerusi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro), Roslan Abdul Rahim berkata, mereka dipilih sebagai pemenang diberi peluang mencabut sendiri pelbagai hadiah berupa pakej percutian dan pelancongan bernilai lebih RM30,000.
Beliau berkata, peraduan ‘Cuti Sakan Bersama Kopetro Travel’ yang diadakan bagi mempromosikan tempat pelancongan dalam dan luar negara menerima 300 penyertaan sejak kempen dijalankan dari 1 Mac hingga 30 Jun lalu.
“Majlis ini diadakan bagi menghargai pelanggan-pelanggan yang telah memberi sokongan kepada koperasi tersebut dengan mendapatkan pakej pelancongan dan pelbagai servis melalui Kopetro Travel.
“Kopetro pula sentiasa mencari inisiatif untuk menyumbang kepada ekonomi negara menerusi industri pelancongan.
“Melalui kempen Jom Cuti Sakan dan majlis penyampaian hadiah ini, kami komited untuk memberikan pengalaman percutian terbaik kepada pelanggan kami dan dalam masa sama, menghargai segala sokongan yang diberikan oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara hadiah menarik yang dibawa pulang oleh pemenang termasuklah pakej percutian ke Bali, Indonesia, Ho Chi Minh, Vietnam dan Sunway Lagoon.
Pada majlis tersebut, Roslan turut mengumumkan pelanggan kini boleh mendapatkan pakej pelancongan daripada Kopetro Travel dan juga barangan keluaran Kopetro yang lain secara dalam talian di Petronas Shop
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Kopetro, Encik Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, berkata, kempen Jom Cuti Sakan yang telah memasuki edisi keduanya ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan dan telah menjana pendapatan untuk syarikat.
“Jom Cuti Sakan adalah satu jenama di bawah Kopetro Travel yang menawarkan pelbagai promosi percutian hebat untuk pelanggan.
“Melalui kempen terbaharu ini, Kopetro Travel telah berjaya menjana jualan sebanyak RM3 juta sepanjang tempoh kempen,” katanya.
Kopetro Travel & Tours Sdn. Bhd. salah satu agensi pelancongan yang menyediakan rangkaian perkhidmatan serta nilai tambahan yang komprehensif untuk memudahkan percutian orang ramai. – MalaysiaGazette