SEREMBAN – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mencadangkan kepada kerajaan untuk meningkatkan harga lantai getah buku dalam Belanjawan 2024.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terdapat permintaan daripada pekebun kecil agar harga lantai komoditi tersebut dinaikkan daripada kadar sedia ada iaitu RM2.70 sekilogram.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, kadar yang dicadangkan mereka adalah antara RM3 hingga RM4 sekilogram.
“Tapi kita kena tengok keseluruhan rantaian itu nanti supaya akhirnya kita dapat menggalakkan orang menoreh,” katanya kepada pemberita pada program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung 2023 di Kampung Kuala Sawah, Rantau hari ini.
Selain melawat kebun getah dan pusat pengumpulan getah, Fadillah turut meluangkan masa menyantuni lebih 150 pekebun kecil getah dan komuniti serta belia dalam sesi sembang santai di kawasan tersebut.
Pada masa yang sama, beliau menggalakkan pekebun kecil menjual susu getah kerana harganya yang lebih tinggi iaitu RM6 sekilogram serta terdapat permintaan yang tinggi.
Fadillah menambah, kerajaan turut menyalurkan insentif susu getah sebanyak RM1 sekilogram sebagai galakan kepada pekebun kecil.
“Negara kita mengimport susu getah kira-kira RM3 bilion setahun untuk pembuatan sarung tangah getah dan produk-produk lain,” jelasnya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, terdapat seramai 28,528 penoreh getah yang berdaftar dalam sistem Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) dengan keluasan kebun getah 37,523.6 hektar.
Namun Fadillah memberitahu, daripada jumlah itu, hanya kira-kira 18,000 orang yang aktif menoreh getah.
“Lebih 10,000 orang tak turun menoreh, itu yang kita nak cari sebab mengapa. Kadang-kadang faktor umur, harga yang tidak begitu baik,” katanya.
Fadillah turut menyarankan supaya pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan contohnya dengan menternak ayam agar mereka tidak terlalu bergantung kepada hasil jualan getah. – MalaysiaGazette