Calon Pakatan Harapan N.09 Permatang, Mohd Yahaya Mat Sahri mencuba menerangkan dron pertanian untuk membaja tanaman padai semasa menyatuni masyarakat pertani sawah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 01 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri memperkenalkan Lima Tekad Pak Ya untuk penduduk dan pengundi kawasan itu.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Ya berkata, manifesto kecil itu kesinambungan kepada Tawaran Kita Selangor yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini.

Katanya, Lima Tekad Pak Ya itu melibatkan ilmu pengetahuan, inovasi ekonomi, kehidupan bermasyarakat, Pembangunan generasi muda dan wanita serta kelestarian alam sekitar.

“Saya telah edarkan risalah Lima Tekad Pak Ya ini kepada penduduk dan pengundi dalam DUN Permatang dan harap mereka memberikan kemenangan kepada saya untuk diterjemahkan selepas 12 Ogos ini.

“Saya akui, tempoh berkempen yang tinggal enam hari sahaja lagi amat mendebarkan, namun saya yakin rakyat tahu apa yang mereka mahukan,” katanya dalam satu ceramah malam tadi.

DUN Permatang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara beliau dengan calon PN-Bersatu, Nurul Syazwani Noh.

Mengenai tekad inovasi ekonomi, Mohd Yahya berkata, ia melibatkan usahawan di kalangan anak muda dan dewasa di kawasan itu.

Katanya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan rasa tertariknya dengan tawaran itu dan mahu turun ke DUN ini untuk bertemu dengan peserta.

“Menteri akan datang esok (hari ini) pada jam 4 petang. Beliau sendiri akan menjelaskan kepada bakal usahawan bagaimana untuk membina diri.

“Ini satu peluang yang terbaik kepada anak muda yang juga penduduk dalam DUN Permatang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast