Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) N.29 Seri Serdang, Amir Hadi berucap ketika hadir ke ceramah kelompok sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Bilik Gerakan MUDA Seri Kembangan, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 04 OGOS 2023.

SERI KEMBANGAN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sekiranya agenda reformasi diteruskan.

Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi mendakwa keputusan parti berkenaan berubah apabila melihat Pakatan Harapan (PH) tidak lagi memperjuangkan perkara-perkara yang pernah disuarakan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kalau MUDA tidak ada kerusi pun kita tidak akan bertanding, saya boleh bagi jaminan. Tapi ketika kita menubuhkan MUDA, kita ada cita-cita, ada prinsip bukan sekadar kerana jawatan ada yang kata MUDA bertanding solo habislah deposit.

“MUDA bertanding solo bukan mudah, ia kita tahu malah kita bersedia ada kemungkinan deposit hilang,” kata Amir Hariri yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang itu ketika berucap di Ceramah Kelompok MUDA di Seri Kembangan malam tadi.

Menurut beliau, isu seperti projek kapal tempur pesisir (LCS) dan lantikan orang politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sebelum ini disuarakan kelihatan tidak lagi diperjuangkan.

“Bukan saya seorang rakan-rakan yang sekarang dalam kerajaan juga cakap perkara ini sebelum ini. Tapi bila kerajaan sudah berubah nada kita pun berubah.

“Yang kita nak bahas di Parlimen bukan perkembangan pembinaan tetapi apa yang berlaku sebelum itu ada barang dibeli, beli apa? Televisyen? Kapal tengah bina beli televisyen buat apa? Kalau dulu kita lawan kepada sekarang tidak? Kalau dulu kita suarakan kenapa sekarang tidak?” soalnya.

Sehubungan itu MUDA terpanggil untuk memberikan mesej kepada rakyat tentang penting untuk kekal dengan pendirian memperjuangkan agenda reformasi.

“Ramai kawan baik saya dalam Pakatan Harapan, masih lagi berkasih sayang dan masih lagi bersahabat mungkin mereka ada idea lain yang berbeza untuk membangun negara tapi kita rasa agenda reformasi mesti diteruskan.

“Saya tidak ada masalah kalau mereka setuju dengan Akta Hasutan saya ada masalah bila sebelum pilihan raya lawan tapi selepas pilihan raya, okay. Itu yang kita lawan,” tambahnya.-MalaysiaGazette