Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pemimpin dalam kalangan masyarakat terutama politik tidak wajar terus membuat kenyataan menyentuh isu 3R iaitu agama, institusi diraja dan kaum agar kesejahteraan yang dinikmati dapat dikekalkan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lebih-lebih lagi apabila negara terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang bangsa dan latar belakang.

“Sepatutnya, kita berusaha memupuk satu negara bangsa, Malaysia. Tidak wajar sama sekali mana-mana pemimpin yang bangkitkan isu perkauman, agama kerana ini akan melebarkan lagi jurang kaum antara kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita mengulas mengenai Titah Diraja Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Dalam titah tersebut juga, baginda bertegas tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak memainkan isu berkenaan di Pahang.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pihaknya tetap komited untuk tidak akan berkompromi dengan salah laku membabitkan penerokaan tanah haram di negeri ini.

“Cadangan kerajaan negeri sekiranya ada lagi tangkapan (penerokaan tanah haram), terus bawa mereka ke mahkamah.

“Bukan bertujuan untuk mengaibkan mereka tapi memberi pengajaran kepada orang lain bahawa Kerajaan Negeri sangat serius kerana ini membabitkan ketirisan hasil yang merugikan rakyat dan kerajaan,” tegasnya.

Wan Rosdy sebelum itu merasmikan Program Pahang International Scout Scarf Festival yang dianjurkan di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang di sini hari ini.

Dalam program yang berlangsung itu, lebih 7,000 ahli pengakap pelbagai peringkat umur hadir dari seluruh Pahang termasuk wakil-wakil daripada negara Vietnam, Myanmar, Thailand dan Brunei. – MalaysiaGazette