KEPALA BATAS – Portal pekerjaan MYFutureJobs menjadi keperluan untuk pencari kerja tempatan demi pengukuhan pasaran buruh negara.
Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata, portal itu dilengkapi dengan sistem padanan pekerjaan yang canggih untuk memadankan pencari kerja secara lebih tepat dengan peluang pekerjaan.
Ia dibuat berdasarkan kelayakan, kemahiran, pengalaman, gaji, lokasi dan lain-lain aspek yang relevan.
Katanya, liputan portal MYFutureJobs adalah menyeluruh malah pencari kerja boleh memperoleh maklumat penting mengenai pasaran buruh terkini termasuklah senarai pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi, kadar gaji dan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa tenaga kerja.
“Sejak Januari 2020 hingga 21 Julai 2023, seramai 884, 688 rakyat tempatan telah dibantu untuk mendapat mata pencarian semula, menerusi penempatan pekerjaan yang dilaksanakan melalui portal MYFutureJobs.
“Pada tahun ini setakat 21 Julai lalu pula, seramai 108, 177 individu berjaya ditempatkan dalam perkerjaan, di mana 8,170 adalah pencari kerja dari Pulau Pinang,” katanya di Majlis Pelancaran MyFutureJobs di Bertam hari ini.
Sivakumar juga merakam penghargaan kerana sebanyak 45 karnival kerjaya termasuk sesi temu duga telah dianjurkan khusus untuk pencari kerja wanita sejak Januari tahun ini.
Ia satu usaha murni dalam menggalakkan golongan wanita menyertai pasaran kerja seterusnya memberi peluang kepada mereka meningkatkan taraf hidup keluarga dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya juga difahamkan sejak Januari 2020 hingga 21 Julai 2023, hampir separuh daripada 72,374 orang yang berjaya memperoleh pekerjaan di Pulau Pinang ini, adalah wanita iaitu seramai 32,711 orang.
“Tahun ini juga mencatatkan trend yang sama di mana 3,761 wanita adalah antara 8,170 individu di negeri ini yang telah ditempatkan dalam pekerjaan oleh PERKESO.
“Dalam Karnival Kerjaya MYFutureJobs kali ini, kira-kira 30 majikan menawarkan lebih daripada 3,974 jawatan kosong merentasi pelbagai sektor dan saya amat berharap rakyat Pulau Pinang memanfaatkan peluang yang disediakan ini untuk mendapat pekerjaan stabil,” katanya. – MalaysiaGazette