BEIJING – Seramai 10 orang cedera dalam gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter yang melanda daerah Pingyuan, Bandar Dezhou, Wilayah Shandong, timur China pada jam 2.33 pagi Ahad (Waktu Beijing).
Sekitar 74 bangunan runtuh, manakala pengangkutan, komunikasi dan bekalan kuasa tidak terjejas, menurut biro tindak balas kecemasan wilayah.
Sementara itu, tiada kebocoran ditemui di saluran paip minyak dan gas, lapor Xinhua.
Ibu pejabat bantuan gempa bumi Majlis Negara China dan Kementerian Pengurusan Kecemasan mengaktifkan respons kecemasan Tahap-IV selepas gempa bumi melanda. – Bernama-Xinhua