ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera selepas sebuah kereta api penumpang tergelincir di daerah Sanghar di wilayah Sindh selatan Pakistan pada hari Ahad.
Kemalangan itu berlaku apabila 10 koc kereta api Hazara Express tergelincir selepas ia meninggalkan Stesen Kereta Api Sarhari di kawasan Shahdadpur di daerah itu, kata polis.
Polis dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi, menyelamatkan penumpang tersepit dalam koc yang tergelincir, dan memindahkan mereka ke hospital berdekatan.
Jumlah kematian mungkin meningkat lagi kerana ramai yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan masih ramai penumpang terperangkap di dalam atau di bawah koc.
Hazara Express berlepas dari bandar pelabuhan selatan Karachi pada pagi Ahad dan menuju ke wilayah Punjab untuk sampai ke destinasi terakhirnya di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Operasi kereta api telah digantung susulan tragedi itu.
Pentadbiran tempatan daerah itu telah meminta bantuan kecemasan daripada tentera Pakistan dalam operasi menyelamat.
Seorang saksi memberitahu media, koc tergelincir selepas enjin kereta api itu terpisah dari mereka.
Bagaimanapun, punca kemalangan itu belum disahkan secara rasmi lagi.
Menteri Kereta Api Khawaja Saad Rafique berkata, beliau telah mengarahkan siasatan ke atas kemalangan itu dan akan berkongsi butiran sebaik sahaja menerimanya. Agensi