Gambar hiasan

DHAKA – Sekurang-kurangnya lapan mayat ditemukan termasuk kanak-kanak dan wanita, selepas bot penumpang karam di Munshiganj, Bangladesh pada Sabtu.

“Kami meneruskan operasi menyelamat pagi Ahad untuk mengesan lima lagi penumpang yang hilang seperti yang didakwa oleh penduduk tempatan dan keluarga mereka,” kata pegawai Balai Bomba Louhajung Mohammad Abdul Malek kepada Agensi Anadolu.

Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 34 penumpang yang lain.

Bot yang membawa 46 penumpang itu karam di bahagian Sungai Padma berhampiran bandar Tongibari.

Sebuah badan siasatan lima anggota telah dibentuk untuk menyiasat kejadian itu, menurut polis dan pentadbiran daerah Munshiganj.

Lebih 550 kapal penumpang karam antara 1991 dan 2020, mengorbankanlebih 3,600 orang dan menyebabkan hampir 500 hilang, menurut rekod Jabatan Perkapalan Bangladesh. – Bernama-Anadolu