BALIK PULAU – Pemuda UMNO yang menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) membabitkan enam negeri menerima maklum balas positif daripada pengundi.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, maklum balas itu berdasarkan kempen minggu pertama yang dilakukan calon masing-masing.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan keadaan itu berkekalan sehingga hari mengundi iaitu 12 Ogos nanti.

“Berdasarkan kempen minggu pertama, Alhamdulillah kita lihat ada perubahan yang sangat baik daripada segi penerimaan pengundi.

“Kita harap maklum balas yang positif ini kekal sehingga hari mengundi.

“InsyaAllah kita juga ada keyakinan bahawa pada 12 Ogos nanti orang muda akan mengundi kita,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas rentak kempen PRN15 membabitkan calon pemuda.

Sementara itu ketika diminta mengulas strategi kempen yang kini memasuki minggu kedua, Dr Akmal berkata, pihaknya mengerahkan tenaga 200 peratus untuk memastikan kemenangan buat calon khsususnya dalam kalangan pemuda.

“Kita all out untuk pastikan kemenangan agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat.

“Selain itu seperti saya sebut sebelum ini setiap calon pemuda yang menang pada PRN15 perlu mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) dan ia akan dipantau melalui ejen bebas berdasarkan tinjauan sentimen rakyat di kawasan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette