Majlis perasmian cawangan CIMB di IOI City Mall.

KUALA LUMPUR – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) memperkenalkan cawangan pertama dengan ciri-ciri kelestarian bersepadu di IOI City Towers @ IOI Resort City, Putrajaya, sebuah bangunan hijau yang disahkan oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Cawangan ini adalah yang pertama dari CIMB yang mengintegrasikan unsur-unsur mesra alam serta pendekatan sosial yang inklusif merentasi reka bentuk dan operasinya, justeru membolehkan bank mengurangkan impak alam sekitar dan memupuk persekitaran perbankan yang lebih inklusif.

Sejajar dengan agenda kewangan lestarinya, CIMB akan mengambil pendekatan yang mengutamakan prinsip ESG dalam mempromosikan rangkaian penyelesaian perbankan konvensional dan Islamik di cawangan tersebut.

Tawaran yang disediakan oleh CIMB termasuk pembiayaan rumah hijau, pembiayaan kenderaan elektrik (EV), pembiayaan panel solar, produk pengurusan kekayaan berasaskan ESG, pembiayaan bagi golongan B40, dan juga deposit yang berfokuskan alam sekitar.

Sebagai bank pertama di Malaysia yang menawarkan rangkaian penyelesaian kewangan lestari yang lengkap, CIMB komited untuk menjadikan gaya hidup yang mampan lebih mudah dicapai oleh pelanggan serta penuh ganjaran.

Cawangan CIMB IOI City Mall dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang telah disesuaikan untuk pengalaman perbankan yang lebih inklusif.

Antaranya laluan keutamaan ATM yang memudahkan akses bagi pelanggan yang mempunyai keperluan khas, satu kemudahan yang disediakan buat kali pertama di seluruh rangkaian cawangan CIMB di Malaysia.

Kemudahan lain yang disediakan termasuk perkhidmatan kerusi roda serta kaunter rendah untuk transaksi di kaunter.

Dalam menyokong komitmen CIMB berkenaan alam sekitar, cawangan ini turut mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau

GBI adalah ciri-ciri ini termasuk penggunaan sistem penyejukan dan pencahayaan yang efisyen, bahan binaan mampan dengan kandungan kitar semula yang diperakui serta perabot pejabat lama yang digunakan semula.

Penyepaduan ciri-ciri kemampanan dalam rangkaian cawangan-cawangan CIMB akan menjadi tunjang utama pendekatan CIMB pada masa akan datang, selaras dengan komitmen CIMB untuk menerajui inisiatif operasi neutral karbon menjelang 2030.

CIMB berkata, bank itu akan berusaha untuk memastikan cawangan-cawangan baharu akan direka bentuk untuk mengurangkan pelepasan serta impak kepada alam sekitar. Pada masa yang sama, pihak Bank akan meneruskan usaha untuk mengubahsuai dan menambahbaik cawangan yang sedia ada dengan pemasangan lampu dan juga sistem penyejukan yang cekap tenaga, serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh
diperbaharui.

Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna dan Digital Kumpulan, CIMB Group berkata, bank itu bukan sahaja tertumpu kepada sesuatu produk atau perkhidmatan, tetapi juga prihatin dalam menjangka keperluan pelanggan dan memberikan mereka pengalaman perbankan yang terbaik pada setiap titik sentuh.

“Di CIMB, kami percaya sepenuhnya dalam memastikan bahawa semua anggota masyarakat, termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas, dapat mengakses perkhidmatan kewangan dengan mudah.

“Melalui usaha berterusan kami dalam pendigitalan dan penambahbaikan kepada rangkaian cawangan CIMB untuk meningkatkan aksesibiliti, kami berhasrat untuk memastikan semua pelanggan berasa selesa dan dihargai semasa menjalankan aktiviti perbankan dengan CIMB,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast