Datuk Nik Zawawi

SHAH ALAM – Ramai ahli UMNO di Jeli, Kelantan akan meninggalkan parti itu dalam masa yang terdekat

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Ustaz Nik Zawawi Salleh mendakwa ahli-ahli parti berkenaan akan menyertai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, perkara berkenaan dijangka diumumkan oleh bekas pemimpin UMNO yang kini bersama-sama Bersatu, iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut Zawawi perkara sama juga sedang berlaku di Gua Musang.

“Gua Musang sebelum ini adalah kawasan yang tidak pernah dimenangi oleh parti pembangkang daripada dulu sampai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetap menjadi milik UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Kali pertama Tengku Razaleigh Hamzah gagal tewas di Parlimen itu dan menyebabkan di Kelantan tiada lagi Parlimen dikuasa parti itu. Di sana gerakan mengumpul seramai mungkin ahli baru untuk menyertai PN sama ada masuk Pas atau Bersatu dijangkakan berlaku begitu ramai,” katanya ketika Ceramah Kelompok Jelajah Selangor Baharu di Flat PKNS, Seksyen 7, di sini, malam semalam.

Ceramah berkenaan turut dihadiri calon PN DUN Batu Tiga, Datuk Seri Rina Harun dan calon DUN Kota Anggerik, Sukri Omar.

Jelas beliau, ia merupakan usaha untuk memastikan parti lawan yang telah menjadi Kerajaan Perpaduan goyah melalui cara demokrasi berparlimen.

Tambah Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu, apa yang diusahakan oleh PN adalah demi rakyat dan memastikan aset-aset negara tidak disalah guna.

Sementara itu, Zawawi membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sering kali melaungkan perjuangan kerajaan di bawah pimpinannya untuk memasmi kemiskinan tegar.

Namun beliau mendakwa setelah lapan bulan berlalu sehingga kini tiada hasil untuk membantu rakyat keluar daripada garis kemiskinan, khususnya di Kota Anggerik.

“Ketika pembentangan Bajet 2023 dia kata dia akan pastikan akan noktahkan kemiskinan tahun ini juga.

“Kita sudah masuk Ogos baki empat bulan lagi untuk 2024, ucapan belanjawan sudah hampir lapan bulan tetapi di DUN Kota Anggerik apa tindakan kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan, saudara nampak tak? Nak cakap senang, nak buat yang susah,” ujarnya. – MalaysiaGazette