Shereen Samson Vallabouy (depan).

KUALA LUMPUR – Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy terus mempamer aksi luar di bumi Amerika Syarikat (AS) apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter (m) dengan catatan 23.33 saat (s).

Shereen memecahkan rekod berusia 25 tahun milik legenda olahraga negara, G. Shanti (23.37s) ketika menduduki tempat keempat pada aksi final Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic 2023 di Memphis, Tennessee, semalam.

Aksi final itu menjadi milik atlet Jamaica, Nataliah Whyte dengan catatan 22.76s diikuti Talitha Diggs dari AS kedua (22.83s) manakala pelari Nigeria, Favour Ofili ketiga (22.94s).

Pada April lalu, Shereen yang berumur 25 tahun meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun dalam acara 400m milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam dengan catatan 51.80s pada Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California.

Dia yang kini bergelar atlet profesional selepas menamatkan pengajian di Winona State University di Minnesota memperbaharui rekod Rabia yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada tahun 1993 di Filipina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast