Calon Pakatan Harapan N.18 Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli

HULU KELANG – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli melancarkan manifesto dengan enam teras dengan fokus untuk membangunkan kawasan berkenaan dengan lebih baik, selesa dan selamat untuk dihuni.

Untuk makluman, manifesto DUN menjadi satu keutamaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) terutama bagi kawasan yang wujud persaingan sengit antara calon-calon bertanding.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Juwairiya, beliau bersama pasukannya telah merangka Agenda Hulu Kelang dengan memberikan fokus keperluan realistik bukan retorik demi kuasa.

“Kita merangka agenda Hulu Kelang ini dengan enam teras pendekatan realistik menggabungkan elemen praktikal dengan matlamat yang boleh dicapai.

“Saya yakin pengundi hari ini, mereka tidak ingin melihat kita menjanjikan bulan dan bintang tetapi apa yang kita boleh laksanakan dan capai dengan sasaran kita itu

“Agenda Hulu Kelang ini merupakan satu gerak kerja lima tekad untuk lima tahun selari seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Besar sebelum ini,” katanya hari ini.

Jelas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati itu, manifestonya memenuhi keperluan jengka pendek komuniti juga menawarkan solusi mampan untuk mencapai aspirasi jangka panjang penduduk.

Kata Juwairiya, teras pertama dan utama ialah agenda berkait isu semasa kehidupan seharian rakyat dan telah menetapkan penyelesaian segera bagi masalah dibangkitkan penduduk.

Antaranya aduan jalan dan projek pembentungan yang mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan di kawasan DUN berkenaan.

“Proses penurapan jalan di AU1 dan AU5 akan disegerakan. Isu ini  sudah seakan sinonim dengan Hulu Kelang. Maka dengan apa cara sekali pun, saya harus segerakan masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Keramat dan Hulu Kelang.

“Untuk makluman, saya  bertemu dengan Menteri Nik Nazmi yang bertanggungjawab dengan projek pembentungan tersebut dan beliau telah memberi komitmen untuk menyegerakan isu ini. Kerja penurapan juga telah bermula.

“Ini komitmen saya. Saya akan terus mendesak jalan untuk segera disiapkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Juwairiya yang juga Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat itu juga berikrar menubuhkan pasukan bomba dan penyelamat komuniti dengan pasukan perubatan dengan ambulan.

Juga slot khas untuk aktiviti rekreasi wanita di kemudahan sukan awam, khidmat sokongan berkaitan kesihatan mental untuk semua peringkat umur secara percuma, pencahayaan jalan lebih baik dan pemasangan kamera litar tertutup di tempat kurang perhatian serta meningkatkan aktiviti kepolisan komuniti dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

Juwairiya turut mengumumkan lima agenda lain yang tidak kurnag pentingnya iaitu Menegakkan Islam sebagai Cara Hidup; Memartabatkan dan Mendayaupaya Wanita; Memangkin Potensi Anak Muda; Merancakkan Aktiviti Ekonomi dan Peluang Kerjaya serta Membela Nasib Orang Asli.

“Saya akan sedaya upaya akan menyediakan khidmat nasihat undang-undang keluarga secara percuma sebagai agenda utama kepada wanita, juga mengetengahkan dan memperkasakan wanita dalam komuniti.

“Ada juga perancangan khusus untuk para belia dengan mewujudkan Hab Pembangunan Anak Muda di Hulu Kelang untuk meningkatkan potensi belia melalui kursus pengaturcaraan komputer, kelas bahasa dan latihan TVET mini,” katanya.

Selain itu, sebagai seorang pencinta alam, Juwairiya juga berjanji akan memberi perhatian khusus kepada hak rakyat Hulu Kelang untuk menikmati alam sekitar yang hijau.

“Saya komited untuk melindungi zon hijau di kawasan Taman Melawati sebagai ekosistem semula jadi yang berfungsi. Semua ini bukan hanya sekadar janji untuk menang undi anda tetapi ikrar saya sebagai anak jati Hulu Kelang,” katanya.

Juwairiya akan bertembung satu lawan satu menghadapi mantan ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada PRN ini bagi kerusi Dun Hulu Kelang 12 Ogos ini. -MalaysiaGazette