Chow Kon Yew

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang sedang menjalankan kajian untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi air di negeri itu

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebuah pulau yang memiliki pantai yang panjang di Seberang Perai berpotensi untuk menawarkan perkhidmatan teksi air.

“Kalau sebuah terminal boleh dibina di Bandar Sri Pinang, Tanjung Tokong atau sehingga Tanjung Bunga ataupun di pesisiran Seberang Perai di Batu Kawan misalnya, ini akan buka satu model pengangkutan air yang baharu.

“Dengan adanya jaringan air, ia sekaligus membuka ruang untuk mempromosikan pembangunan seimbang di rantau ini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan perkhidmatan feri antara Pengkalan Sultan Abdul Halim dan Pengkalan Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap pengangkutan air dan berhasrat menjadi pemegang taruh bersama Kementerian Pengangkutan.

Menurut Kon Yeow sebelum ini Majlis Bandaraya Pulau Pinang pernah cuba untuk mempromosikan teksi air namun ia merupakan produk sosial yang mana masa yang panjang diperlukan untuk mendapatkan pulangan daripada pelaburan yang dilakukan.

“Ini kemudahan sosial (teksi air), dari segi pembiayaan pihak kerajaan perlu menangggung segala kapital pelaburan dan kos operasi nanti maka isu ini perlulah diteliti secara mendalam dalam semua aspek tentang kebolehlaksanaannya,” ujarnya. -MalaysiaGazette