perkhidmatan bantuan guaman Azalina UMNO
Azalina Othman Said

ALOR SETAR – Tiada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini akan membawa perubahan kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau hairan bagaimana perkara itu boleh dibangkitkan dan menggesa pihak berkenaan mengemukakan peruntukan atau undang-undang yang dirujuk oleh mereka.

“Saya dah dengar banyaklah orang cakap, saya rasa pelik macam mana keputusan (PRN) boleh mengubah kerajaan pusat.

“Saya dah buka Perlembagaan banyak kali, saya baca tiada pula (peruntukan).. .mungkin undang-undang lain yang dia baca,” katanya pada sidang media selepas melawat Jabatan Insolvensi Malaysia Kedah hari ini.

Semalam, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN di enam negeri kali ini akan membolehkan berlaku perubahan dalam Kerajaan Persekutuan.

Azalina juga berkata Akta Anti Lompat Parti juga telah diwartakan menerusi pindaan Perlembagaan sekali gus menghalang Ahli Parlimen menukar parti atau membawa kerusi yang dimenangi pada pilihan raya di bawah parti lain masuk ke parti lain.

“Kalau dia keluar lompat parti… kena ada pilihan raya (kecil), pilihan raya kecil itu ditetapkan dalam Perlembagaan, pilihan raya kecil ini bukan perkara yang murah dan mudah.

“Saya nak sebut rakyat mesti penat, PRN enam negeri ini pun rakyat dah penat, inikan pula tambah pilihan raya kecil untuk kawasan Parlimen, kita baru habis PRU (Pilihan Raya Umum) lepas pada 2022, berapa banyak pilihan raya kita nak buat?” katanya.

Beliau berkata sekiranya pemimpin politik terus berfikiran seperti itu, ia akan menimbulkan rasa marah rakyat yang mahukan kestabilan politik supaya kerajaan dapat bekerja dan sekiranya kerajaan pusat sedia ada dapat dikekalkan untuk tempoh lima tahun akan datang, ia akan melancarkan urusan kerajaan yang telah dilaksana termasuk berkaitan dasar dan kewangan.

“Itu sebab bagi saya sendiri pun sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam undang-undang, saya lihat kestabilan negara kita ini sebagai satu kerajaan kekal dalam lima tahun ini, senang saya nak selesaikan kes, kes Sulu sebagai contoh. Saya nak pergi mahkamah senang, saya nak buat penyelesaian senang.

“Kalau tukar-tukar kerajaan, tukar-tukar perdana menteri (PM), saya takut kesannya mendalam daripada hanya menukar PM, kena tukar Kabinet, tukar dasar,” katanya.

— BERNAMA