Aminuddin
Aminuddin Harun berkata kepada pemberita selepas melihat proses pengundian awal di Balai Polis Sikamat, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan meluangkan masa menziarahi bekas pembantu peribadinya, Hairul Anuar Hashim yang kini terlantar akibat strok dalam masa terdekat.

Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan itu juga berharap, semua pihak tidak menjadikan hasrat Hairul Anuar itu sebagai satu isu yang besar.

Menurut Aminuddin, Hairul Anuar telah menyuarakan hasrat untuk bertemu sebelum kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bermula namun keluarganya terlupa untuk memaklumkan beliau.

“Dalam keadaan begini, saya sentiasa menghantar pegawai-pegawai atau rakan daripada parti sendiri untuk membantunya.

“Jadi komunikasi yang tak sampai, itulah saya rasa tiada masalah,” katanya kepada pemberita selepas melihat proses pengundian awal di Balai Polis Sikamat, di sini, hari ini.

Hairul Anuar
Hairul Anuar Hashim yang terlantar akibat strok sejak dua tahun lalu berharap dapat bertemu Aminuddin Harun di kediamannya di Taman Warisan Puteri, Sikamat, Seremban.

Kelmarin, media melaporkan, Hairul Anuar, 53, berharap Aminuddin sudi meluangkan masa untuk menziarahinya yang terlantar akibat serangan strok dua tahun lalu di kediamannya di Taman Warisan Puteri, Sikamat di sini.

Beliau berkata, kedatangan sahabat lamanya itu dapat menguatkan semangatnya dalam menghadapi dugaan hidup.

Hairul Anuar mula berkhidmat bersama Aminuddin ketika penyandang kerusi DUN Sikamat itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan terpaksa berhenti kerja pada 2015 setelah diserang strok kali kedua. – MalaysiaGazette