calon Barisan Nasional (BN) Tanjung Dawai, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin beramah mesra bersama anggota tentera ketika melawat kepusat mengundi sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang Sungai Layar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2023.

SUNGAI PETANI – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpuas hati dengan perjalanan pengudian awal yang berlangsung hari ini.

Beliau yang hadir ke Pusat Pengundian Awal di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang berkata, cuaca juga dilihat memberikan keselesaan kepada pengundi untuk turun seawal jam 8 pagi untuk memangkah undi masing-masing.

“Saya telah meninjau ke pusat undian awal pagi ini dan nampak semua berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Mod pengundi tentera pun saya nampak okey dan mereka sedia untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika membuat tinjauan pengundian awal di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang, di sini, hari ini.

Shaiful Hazizy juga berharap agar pengundi awal dapat memberikan undi kepada beliau kali ini.

Ini menurut beliau, jumlah sokongan bagi pusat pengundian di sini tidak memihak kepada beliau pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Saya berharap sudah tentunya sebagai calon yang berlawan saya sangat berharap agar pengundi awal ini dapat berpihak kepada saya sebagai calon untuk DUN Tanjung Dawai.

“Saya yakin dan percaya pengundi awal bijak membuat penilaian dan membuat keputusan dalam hal ini,” katanya.

Ditanya saranan beliau kepada pengundi luar, Shaiful Hazizy berharap agar pengundi dapat menilai kerajaan yang boleh membuat kerja dengan individu yang hanya mengejar populariti murahan.

“Seruan saya pengundi luar kena buat keputusan yang betul dalam hal ini, mereka perlu buat penilaian yang melangkaui faktor gelombang ataupun populariti seseorang calon itu. Kena fikirkan kerajaan mana yang selayaknya membangun dan memajukan kawasan yang dia nak balik mengundi.

“Pengundi luar juga perlu bertanggungjawab melihat kepada parti mana yang sebenarnya lebih banyak membantu rakyat berbanding kepada parti yang lebih banyak berpolitik.

“Tapi saya yakin pengundi luar kali ini mereka sangat rasional dan memahami situasi yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette