Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap dihadapan penduduk masyarakat siam ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Sungai Long, Padang Terap, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2023.

PADANG TERAP – Kami sering menghadapi masalah air dan ia semakin kerap berlaku.

Itu kenyataan pengundi-pengundi di kalangan masyarakat Siam di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu kepada MalaysiaGazette.

Penduduk siam, Ivan Ikeluan, 43 bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Sungai Long, Padang Terap, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2023.

Justeru itu, Ivan Ikeluan, 43, berkata, masyarakat Siam di Kampung Sungai Long, Naka mahu calon yang dipilih selepas 12 Ogos nanti boleh menyelesaikan segera masalah air.

“Sebelum ini kami kena korek telaga bila tidak ada air, tapi sekarang sudah okey dihantar pakai lori, dulu bila tak ada air kena mandi sungai dalam 500 meter dari rumah.

“Pagi-pagi bawa anak isteri, termasuk cuci pakaian,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Justeru itu, Ivan berkata, pilihan mereka adalah calon Barisan Nasional (BN) yang pernah memenangi kerusi itu sebelum ini, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Kita mahu pemimpin baik jadi kita sokong, Tok Det selalu datang bila ada masalah bila ada masalah dia selalu bantu contohnya masalah air, kita sokong dia.

“Selain isu air, masalah jambatan ke Sungai Long sekarang dah okey Mahdzir Khalid baiki. Kita nampak dia buat kerja, orang lain tak nampak turun, pemimpin lain bila menang tak nampak muka, macam mana kita nak sokong, kita nak pilih orang cari kita,” luah beliau lagi.

Penduduk siam, Kanya Eperom, 55 bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Sungai Long, Padang Terap, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2023.

Kanya Eperom, 55 berkata, beliau memerlukan bantuan untuk menguruskan wat di kawasan tersebut.

“Ada sedikit lagi jalan yang belum diturapkan, tapi harap Datuk Seri dapat selesaikan masalah jalan di sini.

“Selain jalan, kami juga memerlukan bantuan untuk menguruskan wat-wat di sekitar Pedu,” katanya.

Penduduk siam, Sawit Ikeluan, 32 bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Sungai Long, Padang Terap, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 07 OGOS 2023.

Dalam pada itu, Sawit Ikeluan, 32, berkata, ketiadaan mesin pengeluaran wang (mesin ATM) turut menjadi masalah kepada masyarakat Siam di Kampung Sungai Long.

“Kita nak tambah mesin ATM di Lubuk Merbua dan kawasan wat ini perlu ada kelengkapan fasiliti dan jadikan tempat pelancongan.

“Perlu ada kemudahan jalan ke kawasan penduduk termasuk ke wat, ini kawasan Felda, kita pernah mohon, tapi belum dapat,” katanya.

Dianggarkan lebih 4,000 pengundi Siam akan mengundi di DUN Pedu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, 12 Ogos.

Dua calon bertanding di kerusi itu iaitu Mahdzir dan calon Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan, Mohd Radzi Md Amin. – MalaysiaGazette