SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan menerima 96 laporan pelbagai isu sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sejak 29 Julai lalu sehingga semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, daripada jumlah itu hanya 11 kertas siasatan dibuka atas kesalahan khianat, merosakkan bendera parti dan bakar khemah parti.
“Selain itu, terdapat satu kes kerusi milik bilik gerakan sebuah parti dicuri namun tiada sebarang tangkapan dibuat bagi kesemua 11 kes yang disiasat.
“Pemantauan di ceramah kempen juga setakat ini mendapati tiada sebarang sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) disentuh calon mahupun pemimpin parti, namun kita akan terus melakukan pemantauan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di pusat undi awal di Pangkalan Udara Sendayan, di sini, hari ini.
Proses undi awal PRN Negeri Sembilan hari ini menyaksikan seramai 26,079 anggota polis, tentera dan pasangan menunaikan tanggungjawab menjelang PRN 12 Ogos ini. – MalaysiaGazette