KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar akan menggantikan Datuk Raja Rozela Raja Toran bagi mengetuai pasukan pendakwaan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ia berikutan permohonan Raja Rozela untuk bersara awal pada 3 April lalu telah diluluskan dan berkuatkuasa pada 1 November depan.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan hari ini berkata, Raja Norzela juga telah memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos ini.
“Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa keputusan untuk menggantikan Raja Rozela sebagai ketua pasukan pendakwaan dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dan dengan membuat pertimbangan yang teliti,” katanya.
Menurut Idrus, pemilihan Mohd Dusuki untuk mengetuai pendakwaan kes Timbalan Perdana Menteri itu dibuat berdasarkan pengalaman luas hampir 30 tahun beliau sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya.
Artikel berkaitan: Timbalan Pendakwa Raya kes rasuah Zahid Hamidi digugurkan
Mohd Dusuki merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi termasuk kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.
“Memandangkan kes melibatkan YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih berlangsung dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga bulan Disenber tahun 2023, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang,” katanya.
Pelantikan tersebut, menurut Peguam Negara, bagi memastikan kesinambungan kes pendakwaan melibatkan Ahmad Zahid.
Keputusan tersebut, katanya, dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan Ahmad Zahid tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette
harap rakyat bersabar… jika itu telah ditakdirkan maka 12 OGOS 2023 rakyat masih boleh berusaha untuk akarumbi UMNO “memimpin” ZAHID HAMIDI menuju keluar BEBAS…. berusaha berusaha berusaha sedayaupaya… Amin yrb