Ketua Pengarah Pilihanraya Parti Islam SeMelaysia (PAS), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membaca ikrar di Pelancaran Jentera Pilihanraya Pas Pusat pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

YAN – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa suasana panas di negeri Kedah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah disebabkan oleh anasir luar.

Menteri Besar Kedah itu berkata, sebelum ini, Kedah aman namun berubah apabila terdapat beberapa individu yang sengaja turun menghangatkan isu di negeri ini.

“Kita di Kedah ini aman malah perjalanan kempen pun aman sahaja kecuali ada beberapa ‘mangkuk hayun’ yang buat kacau.

“Panas seperti di Gurun (gurun sebenar).

“Kita di Kedah dalam tiga tahun amat tenang tidak ada masalah. Ada anasir-anasir luar yang membawa ‘kepanasan’ di Kedah dan mengerunkan sungai-sungai kita yang jernih,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian dalam program Himpunan Ulama Sembang Santai bersama MB Kedah dan Ustaz Azhar Idrus di Dataran Kaki Gunung Jerai malam tadi.

Beliau ketika itu menjawab pertanyaan spontan Ustaz Azhar bertanyakan kawasan mana yang panas semasa PRN kali ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu bagaimanapun tidak memperincikan invidividu mana yang dimaksudkannya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berharap agar situasi panas yang melanda Kedah akan dapat diredakan.

“Kita harapkan selepas PRN, kita dapat kekalkan keamanan,” katanya.

Muhammad Sanusi sebelum ini diheret dengan skandal aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) .

REE antara isu yang mencuri tumpuan sepenjang kempen PRN Kedah sehingga menjadi siri pendedahan oleh Ketua Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast