JEMPOL – “Saya bukan sahaja anak jati tapi lahir dan membesar di Jeram Padang. Saya sudah bersama masyarakat sepanjang hidup saya.”
Itu kata calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Seri S. Surash yang juga Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Sembilan.
Beliau juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan sejak sembilan tahun lepas melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kelab bola sepak yang diasaskannya sendiri, N Nine FC.
Ahli korporat yang kini menjadi ahli politik itu juga menganggap kira-kira lebih 16,000 penduduk Jeram Padang ada adalah keluarga besarnya.
Malah ketika Surash bertanding secara bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lepas, beliau berjaya meraih undi kedua tertinggi selepas calon Barisan Nasional (BN), Datuk L. Manickam yang mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua apabila memperoleh 3,702 undi.
Jumlah 2,640 undi iaitu satu angka yang jarang diperoleh oleh calon bebas.
“Ini kerana Jeram Padang ini adalah tempat saya, Ladang Bahau adalah tempat saya lahir, orang yang mengundi ini adalah keluarga, kenalan saya. Saya berjaya dalam hidup hari ini kerana setiap mereka ini. Bila berjaya dalam hidup, saya berhasrat untuk menaikkan taraf kehidupan penduduk Jeram Padang.
“Ketika itu saya bergerak menggunakan NGO bersama ahli keluarga dan rakan lain melakukan pelbagai aktiviti masyarakat dan melaksanakan projek kebajikan, kami tidak pakai dana luar sebaliknya menggunakan duit sumbangan masing-masing.

Surash kemudian didekati seorang pemimpin tertinggi parti Bersatu sebelum menyertai sayap parti itu dan diberikan kepercayaan menjadi Ketua Sayap Negeri dan ditawar kerusi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Sekarang pun bukan senang, ada pihak tidak menyenangi sehingga menyebarkan tohmahan fitnah terhadap saya. Apa yang saya boleh buat selain daripada terima sahaja, pada saya fokus utama adalah menang kerusi Jeram Padang.
“Saya ingin meneruskan impian saya dalam membangunkan Jeram Padang dengan lebih hebat lagi, penduduk yang saya kenali ini menaruh keyakinan besar terhadap saya.
“Kali ini saya tidak akan mengecewakan penduduk iaitu keluarga besar saya,” tegasnya.
Selepas kalah PRU-14, beliau masih turun padang termasuk membantu penduduk tanpa mengira kaum dan fahaman politik apatah lagi ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membekalkan makanan setiap hari untuk beratus orang selain musibah banjir.

Dalam pada itu, Surash tampil dengan lima janji yang akan memberi fokus kepada ekonomi, pembangunan, kebajikan, pendidikan dan sukan NGO.
“Ini manifesto yang saya ikrarkan kerana selama bertahun ini juga saya terus menyumbang ke arah lima teras ini, bukan omong kosong tetapi sesuatu yang saya mampu lakukan.
“Jika anda minta saya turunkan harga minyak atau harga barang, sumpah saya tidak boleh tetapi lima fokus ini realistik dan berkait masyarakat setempat, saya boleh,” ujarnya.
Pada PRN kali ini, Surash akan berdepan dengan calon BN, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir pada 12 Ogos ini. -MalaysiaGazette
















