GOMBAK – Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan tindakan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengupah laskar siber atau cybertoopers sebagai terdesak pada minggu terakhir bagi meraih undi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor mendakwa, segala isu yang dibangkitkan semula oleh Menteri Besar Kedah itu dilihat sudah lapuk sehingga tergamak mencetuskan fitnah.
Katanya, isu yang ditimbulkan itu telah dijawab oleh semua pihak termasuk Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd dan Selangor Maritime Gateway (SMG).
“Bagi saya serangan ini dibuat pada minggu terakhir, sebab mereka tahu isu-isu begini akan menjadi panjang lebar walaupun saya telah berulang kali jelaskan satu jam di Parlimen berkenaan SMG, YB Izham terangkan 45 minit di sidang DUN.
“Benda ini bukan main-main sebab ia melibatkan proses, tapi mereka nak garap benda ini menjadi political score dan sayangnya ia menjadi fitnah.
“Bila kita saman, dia marah pula, otak dia sama macam parti hijau, semua tuduhan dibuat parti hijau, PN betul-betul salin tampal,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak, di sini, hari ini.
Tambah Menteri Besar Selangor itu, tindakan saman fitnah terhadap Muhammad Sanusi dan kesemua laskar siber adalah untuk pertahakan dirinya dan bukan mengekang kebebasan bersuara.
Ia susulan dakwaan fitnah yang dinyatakan oleh Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard baru-baru ini
“Dia fitnah melata, tak salah guna kuasa atau masuk syurga? Tak tahulah pula jika memfitnah adalah satu jalan ke pintu syurga.
“Salah-salah pintu bukan masuk syurga, tapi neraka. Tak kan orang nak saman pertahankan diri tidak boleh? Apa kita boleh buat, tak kan menangis baru jumpa dengan dia?,” ujarnya sambil menambah beliau tidak anggap berat tuduhan yang dibuat Che’gu Bard kerana dia bergerak berikutan orang mengupahnya. – MalaysiaGazette