Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.

ALOR SETAR – Seorang suspek kes dadah ditemukan meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Saleh berkata, kejadian itu melibatkan orang kena tahan (OKT) yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi ini.

“Susulan itu, pihak koroner telah hadir ke tempat kejadian dan mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

“Siasatan dijalankan di bawah Laporan Mati Mengejut (LMM) oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fisol berkata, sebagai langkah awal, semua anggota yang bertugas semasa kejadian akan dipindahkan sementara ke cawangan lain sehingga siasatan selesai.

Menurut beliau, siasatan juga akan memastikan semua arahan pentadbiran berkaitan lokap dan Kaedah-Kaedah Lokap 1953 dipatuhi.

Beliau menegaskan, pihak polis akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil kerana ia melibatkan kepentingan awam. – MalaysiaGazette