SEREMBAN – Semua pegawai dan anggota tentera yang mengundi awal hari ini dinasihati tidak emosi untuk memilih calon wakil rakyat, sebaliknya menganalisa sebelum memangkah undi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mereka tidak tidak seharusnya memilih bersandarkan janji dan tohmahan ketika kempen terutamanya di laman media sosial.
“Kalau ikutkan kempen macam-macam yang dicakap, tapi pengakhiran cerita kita mesti menganalisa dan meneliti kepada siapa yang boleh kita berikan kepercayaan untuk mentadbir dan memimpin.
“Undilah dengan teliti supaya mereka tak terikut-ikut dengan tohmahan, sentimen-sentimen yang berlambak dalam media sosial,” katanya.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata demikian selepas meninjau perjalanan undi awal di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan, pagi ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, terlalu banyak tohmahan berlalu sewaktu kempen Pilhan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terutamanya di laman sosial media.
“Sebagai rakyat, kita mesti berupaya meneliti dan menelaah mana betul mana yang tidak,” katanya.
Mohamad turut berpuas hati dengan perjalanan hari pengundian awal yang menyaksikan seramai 907 anggota tentera dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Untuk seluruh negara saya belum dapat laporan lagi tapi di sini seperti dilihat tadi ada tiga saluran dan paling lama pun mereka menunggu sekitar dua, tiga minit.
“Ia nampak lancar dan saya ucap tahniah kerana mereka dapat urus sistem dengan baik,”katanya.
Pada PRN 12 Ogos ini, Timbalan Presiden UMNO itu akan mempertahankan DUN Rantau yang disandangnya selama empat penggal sejak 2004 menentang calon Perikatan Nasional (PN), Rozmal Malakan. – MalaysiaGazette















