Foto yang dikongsikan anak allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Fatihah Salahuddin di media sosialnya. Foto kredit: X @fthhslhddn

KUALA LUMPUR- “Airmata bercucuran jatuh saat kaki melangkah masuk ke bangunan Parlimen,” demikian luahan anak bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menerusi hantaran di X, Fatihah Salahuddin berkata, beliau terpaksa mengumpulkan seluruh kekuatan dan semangat untuk melaksanakan amanah menanggalkan plat nama ayahnya di Dewan Rakyat.

“Hadir ke Parlimen untuk menanggalkan plat nama ayah, saya memakai baju kemeja T milik allahyarham, hari ini.

“Rasanya baru semalam kami berkempen untuk allahyarham di Pulai.

“Kini, mandat sudah dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya dalam hantaran yang dikepilkan bersama video dan foto.

 

Fatihah Salahuddin bergambar kenangan di tempat duduk bapanya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Dewan Rakyat.
Foto kredit: X @fthhslhddn

Hantaran berkenaan kemudiannya tular dengan tontonan lebih 395,000.

Warga net juga menggunakan kesempatan itu untuk mengucapkan takziah dan dalam masa yang sama menzahirkan ucapan terima kasih ke atas jasa allahyarham Salahuddin terutamanya dalam menjuarai inisiatif Rahmah.

Dua minggu lalu, bekas Ahli Parlimen Pulai itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah akibat pendarahan otak.- MalaysiaGazette

Minggu lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai akan diadakan 9 September ini bagi mengisi kekosongan kerusi yang ditinggalkan Salahuddin- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast