Cha Hoong Fong

SHAH ALAM – Sepasang suami isteri warga tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan polis Isnin lepas bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian wang tunai lebih RM200,000 dan 32 unit telefon bimbit milik syarikat memproses makanan di Pulau Indah, Klang dekat sini.

Ketua Polis Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima aduan pada 4 Ogos daripada pembantu pengurus sumber manusia syarikat terbabit, mendakwa wang tunai serta telefon bimbit tersebut yang diletakkan dalam pejabat telah hilang, disyaki dicuri.

Katanya hasil siasatan mendapati sehari sebelum laporan dibuat, pengadu telah memasukkan wang itu ke dalam sampul-sampul surat untuk membuat bayaran gaji kepada pekerja dan menyimpannya di dalam almari sebelum pulang ke rumah.

“Pada 4 Ogos, jam lebih kurang 6 pagi, setelah sampai ke pejabat pengadu mendapati wang tunai itu bersama 32 unit telefon bimbit telah tiada dan syarikat pengadu mengalami kerugian sebanyak RM220,000.

Cha berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Beliau berkata keempat-empat suspek yang juga pekerja di syarikat itu ditahan tiga hari selepas laporan dibuat dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM110,680 serta 15 jenis barang kemas berserta resit pembelian.

Katanya kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun itu direman tiga hari dan kertas siasatan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

—  BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast