Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Dun Sungai Burong, Ustaz Mohamad Khir Ramli bercakap kepada media selepas sesi walkabout bersama masyarakat India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Taman Ketam, Tanjung Karang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 09 OGOS 2023.

KUALA SELANGOR – Menjadi calon muka baru yang diketengahkan untuk menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong sudah tentu bukan satu kerja yang mudah.

Namun, Mohamad Khir Ramli tidak rasa canggung kerana mendapat sokongan padu daripada komponen parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang waktu berkempen.

“Sebenarnya di sini banyak komponen parti yang amat membantu saya dalam berkempen. Parti Amanah Negara (Amanah), PKR setiap hari ikut. BN sudah tentu, MIC pula bila sampai sahaja saya di kawasan majoriti masyarakat India mereka sangat bersedia membantu.

“Bila kita pergi kawasan DAP begitu juga semua jawatankuasa turun, begitu juga MCA. Penglibatan setiap parti sangat hebat. Komitmen semua pihak sangat membantu untuk memastikan kemenangan saya di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengadakan Walkabout bersama masyarakat India di Taman Keta, Tanjung Karang, hari ini.

Mohamad Khir merupakan calon mewakili BN yang juga menyandang jawatan sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang.

Mengulas mengenai penduduk di kawasan berkenaan, beliau yang dikenali sebagai Ustaz Khir berkata, majoriti mengadu kawasan perumahan mereka sering dinaiki air apabila air pasang.

Sehubungan itu katanya, sebagai jalan penyelesaian kepada masalah tersebut beliau akan mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk membina tembok bagi mengelakkan kawasan perumahan tersebut terjejas akibat dinaiki air.

“Saya nampak, sekiranya penduduk di sini tolong saya, undi saya dan kita berada dalam kerajaan (negeri) saya akan cuba sedaya upaya mengadakan tembok untuk menghalang air pasang masuk ke kawasan perumahan ini.

“Tapi perkara ini bukan masa tu minta masa itu juga dapat, ada yang tahun ketiga mohon baru dapat. Biasanya. Kalau dapat tahun pertama itu rahmat,” jelasnya. – MalaysiaGazette