Sebahagian murid Orang Asli di hadapan wakaf 'Sekulah Bateq' di kampung Kuala Atok, Jerantut, Pahang.

KUALA LUMPUR – Seramai 208 permohonan sijil beranak dan kad pengenalan Orang Asli akan diproses oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas membuka kaunter selama dua hari di Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Ia melibatkan proses menerima gantian kad pengenalan, pendaftaran lewat kelahran, sijil kelahiran dan MyKad baharu dalam program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Timbalan Pengarah JAKOA Pahang, Ahmad Marzuki Salleh berkata, objektif program untuk memberi pendedahan kepada komuniti Orang Asli di daerah tersebut kepentingan memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan untuk melayakkan mereka menerima pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Program  selama dua hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Orang Asli kerana JPN menerima sebanyak 208 permohonan yang melepasi sasaran 80 permohonan di peringkat awalnya.

“Sasaran  permohonan di kalangan penduduk Kampung Kuala Atok dan Kampung Sungai Tekal bagaimana ia turut mendapat sambutan di kalangan penduduk kampung berhampiran dan situasi ini perkembangan yang baik kerana kebanyakan anak-anak mereka juga telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

“Kesanggupan mereka hadir membuktikan  kesedaran  memiliki dokumen pengenalan diri telah meningkat dan mengakui  kepentingan memiliki dokumen berkaitan membantu proses menyalurkan bantuan, memohon lesen motorsikal, keluar bekerja dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Transformasi Minda Insan Sub Aktiviti Program Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah Diri Daerah Jerantut yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Merting.

Ia mendapat sokongan daripada pelbagai agensi antaranya JPN Pahang dan JPN Jerantut, Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Daerah Jerantut, Pejabat Perpaduan, SK Merting serta Badan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan RYTHM.

Ahmad Marzuki menambah, berdasarkan sambutan tersebut, pihaknya bercadang untuk meneruskan program seumpamannya pada masa masa hadapan dengan kelompok lebih kecil di lokasi yang lebih mudah di akses oleh komuniti berkaitan.

Antara masyarakat Orang Asli di Jerantut yang hadir mengesahkan dokumen identiti diri.

Sementara itu, Ketua Yayasan RYTHM,  Santhi Periasamy berkata, pihaknya telah menjayakan pembukaan ‘Sekulah Bateq’ di Kampung Kuala Atok sejak tahun lalu yang telah memberi manfaat pendidikan asas kepada lebih 40 kanak-kanak etnik Bateq dengan bantuan daripada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Merting.

“Saya percaya hanya dengan pendidikan mampu mengubah lanskap pembangunan ekonomi dan pendidikan  Orang Asli  dan menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sekarang. Justeru kami berganding bahu dengan pihak JAKOA, PPD, pihak sekolah dan agensi berkaitan dengan mewujudkan kelas khas di sini yang menempatkan lebih 50 pelajar.

“Memantapkan lagi pengetahuan asas membaca dan berkomunikasi,  pada hujung minggu  beberapa guru dari sekolah yang sama dibawa masuk ke kampung untuk mengajar kelas tambahan kepada pelajar di sebuah wakaf (sekulah bateq) yang dididirikan di sana,” ujarnya.

Bagi Tok Batin Kampung Kuala Atok, Hussin Dayak, pihaknya gembira kerana mendapat bantuan daripada agensi kerajaan, sekolah dan NGO yang membolehkan dokumen pengenalan diri diperolehi untuk Orang Asli sekali gus memudahkan mereka menerima bantuan sewajarnya.

“Sebagai tok batin, saya selalu mengingatkan anak buah mendaftar anak-anak yang baru lahir di JPN, bila cukup 12 tahun buat Myad dan warga yang lebih tua ganti kad pengenalan baharu tetapi bukan mudah memujuk mereka.

“Alasan utama mereka sukar keluar ke bandar Jerantut kerana kampung dihubungkan hanya melalui sungai dengan menaiki bot dan kurang kesedaran tentang kepentingan memiliknya.

“Saya jelaskan perlahan-lahan mudah dapat bantuan dan boleh bersekolah dan lama-kelamaan mereka dapat menerimanya. Jika sudah dapat saya berpesan, jagalah ibarat nyawa dan simpan di tempat selamat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast