Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD ADZLAN 09 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Golongan belia yang merupakan pengundi daripada kalangan generasi kedua Felcra merupakan penentu kepada kejayaan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di enam buah negeri, 12 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, generasi kedua Felcra memainkan peranan penting membawa gelombang perubahan Kerajaan Negeri agar selari dengan Kerajaan Persekutuan.

Ujar beliau, kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Perpaduan akan memberi impak positif kepada rakyat di pelbagai kawasan.

“Saya amat yakin dengan dokongan atas semangat gelombang yang telah berlaku bagi enam negeri ini memperlihatkan perubahan agar rakyat di desa, kawasan pinggir bandar dan kawasan bandar di seluruh enam negeri dan seluruh negara, kerajaan-kerajaan negeri yang akan memilih pentadbiran baharu wajib bersama dengan kerajaan persekutan di Putrajaya supaya Kerajaan Perpaduan dapat terus membantu semua negeri yang selairan dengannya,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi General Kedua Felcra, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Tambah beliau, kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Perpaduan seterusnya akan dapat merealisasikan cita-cita kerajaan yang ingin rakyatnya tidak terpinggir daripada kemajuan.

“Saya bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan sekadar terjemahkan komitmen beliau tetapi fokus mempedulikan terhadap semua rakyat,” tambahnya.

Menurut Ahmad Zahid, sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan harus diterjemah menerusi undi di enam buah negeri pada Sabtu ini.

“Saya amat yakin generasi kedua termasuk generasi kedua Felcra akan dapat bersama sama dengan saya mendokong cita-cita  dan aspirasi Perdana Menteri bagi memberikan kesejahteraan kepada keluarga kita di kawasan luar bandar dan desa,” ujarnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. buat apa PH benarkan ZAHID HAMIDI berkempen? ZAHID ni adalah liability yang menghancurkan. Akarumbi UMNO mahu dia DIKELUARKAN dari KEPIMPINAN selepas PRN 6 NEGERI. lagi kerap ZAHID HAMIDI berlegar-legar di medan kempen lagi kuat ingatan rakyat tentang SUMPAH MUNAFIK dia..

Comments are closed.