Pengundi muda, Adam Haris Isma, 18 bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Kampung Lalang, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2023.

BALING – Rata-rata pengundi muda di sini mengakui teruja untuk melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), menjelang Sabtu ini.

Apatah lagi, golongan muda ini dikatakan akan menjadi penentu dalam memastikan kerajaan negeri yang akan berkuasa sama ada dari Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Bagi seorang pengundi muda yang berusia 18 tahun, Adam Haris Bin Isma-AE, dia mengaku tidak sabar untuk mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu.

Katanya, perasaan gembira timbul kerana ini kali pertama dia akan diberi peluang untuk memilih wakil rakyat.

“Saya berasa gembira untuk pilih pemimpin di mana pemilihan saya lebih utama kepada individu selain sebahagian kriteria kerana parti.

“Saya akan mengundi mengikut pilihan sendiri kerana dari kecil saya sudah terdedah dengan parti politik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, semalam.

Berdasarkan statistik daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah, yang mana sejumlah 104,284 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Adam Haris menambah, dia berharap wakil rakyat yang dipilih akan memperjuangkan Islam selain memberi fokus merancakkan ekonomi di Bayu pada masa akan datang.

“Kalau lihat mata wang kita pun jatuh berbanding negara Thailanda namun rakyat di Baling masih bersyukur kos hidup di sini masih murah lagi,” katanya.

Pengundi muda, Muhammad Khairi Amri Mahamad Saihidi, 19 bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Kampung Lalang, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2023.

Sementara itu, seorang pengundi muda berusia 19 tahun berasa bertuah kerana kali kedua mengundi pada PRN DUN Bayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.

Dia memberitahu, pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bertanggungjawab serta amanah terus menjadi pilihannya untuk diundi pada PRN nanti.

Apatah lagi, kata pekerja kilang itu, dia sudah mempunyai pengalaman mengundi yang pertama kali sebelum ini dalam tempoh lapan bulan lalu.

“Saya akan terus pilih pemimpin jaga yang kebajikan rakyat dan undi saya bukan kerana mengikut kawan-kawan atau nasihat daripada ibu bapa.

“Jadi saya berharap bakal wakil rakyat DUN Bayu yang dipilih nanti akan komited berkhidmat untuk rakyat dan selalu turun padang selepas ini,” katanya sambil mengakui fenomena Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut memberi kesan kepada pengundi muda. – MalaysiaGazette

Penyokong Perikatan Nasional (PN) berkonvoi beramai-ramai menaik motosikal menuju ke Kampung Lalang untuk ceramah Gathering Anak Baling sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika di Parit Panjang, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2023.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast