UNHRC
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapatkan pandangan bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy berhubung tindakannya keluar daripada parti.

Anwar berkata, Ramasamy memahami keadaan yang dihadapi oleh parti Kerajaan Perpaduan yang kini menghadapi pilihan raya di enam negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berharap bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu akan terus memainkan peranan membantu kerajaan.

“Ramasamy sahabat saya, saya akan tentunya dapat pandangan daripada dia. Dia faham keadaan kita.

“Mungkin ada beberapa masalah khusus dan parti tapi saya harap dia mainkan peranan yang positif untuk membantu kerajaan dan pendekatan madani ini,” katanya kepada media.

Beliau ditanya sama ada tindakan Ramasamy keluar daripada DAP akan memberi kesan terhadap parti-parti kerajaan dalam pilihan raya di enam negeri yang akan berlangsung Sabtu ini.

Anwar ditemui selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-36 di sini hari ini.

Ramasamy hari ini melepaskan semua jawatan dalam DAP dan mengumumkan keluar daripada parti itu.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu sudah mengutus surat bagi tujuan berkenaan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Surat yang sama turut dihantar kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pagi ini.

Ramasamy sebelum ini pernah menyuarakan keinginan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri buat kali terakhir.

Nama beliau bagaimanapun digugurkan sebagai calon daripada mempertahankan kerusi yang disandang beliau selama tiga penggal.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ramasamy isytihar keluar DAP