KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman yang mendakwa Kerajaan Persekutuan mengabaikan Kelantan.
Anwar berkata, dakwaan Ahli Parlimen Bachok itu bahawa Kelantan dianaktirikan jelas tidak tepat dengan fakta sebenar.
Ini kerana negeri itu mendapat peruntukan yang lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan berbanding sebelum ini, katanya.
“Semua cadangan penting Kerajaan Negeri Kelantan saya telah terima. Tebatan banjir, air bersih, pembangunan negeri malah peruntukan yang diberikan oleh kerajaan perpaduan sekarang lebih banyak daripada yang diberikan oleh Pas dan Bersatu masa mereka dalam kerajaan. Itu sepatutnya difokus.
“Semasa dia dalam kerajaan, mereka sibuk soal-soal lain, peruntukan kepada Kelantan kurang daripada sekarang, jadi bagaimana dia kata dianaktirikan” soal Anwar.
Perdana Menteri berkata, Mohd. Syahir sebagai pemimpin muda sepatutnya lebih berani membetulkan masalan dalam dan memberikan cadangan.
Beliau berkata demikan kepada wartawan selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan Mohd Syahir dalam Debat Model Ekonomi Baharu Malaysia malam tadi bahawa Kerajaan Persekutuan sekarang menganaktirikan Kelantan.
Dalam debat itu Mohd. Syahir berkata, punca utama Kelantan masih menjadi negeri miskin adalah disebabkan isu federalisme dengan beberapa hak negeri itu dinafikan.
Ini termasuk pembayaran royalti disebabkan perbezaan pentadbiran antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Selama 33 tahun Kelantan di bawah pentadbiran PAS dari 1990, negeri itu tidak pernah merasai nikmat ‘federalisme’ sebagaimana dinikmati Melaka dan Negeri Sembilan,” kata Mohd. Syahir.-MalaysiaGazette















