Foto hiasan

PETALING JAYA – Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berpendapat PH perlu terus berhati-hati dan tidak terlalu optimis sehingga beranggapan orang Melayu yang mengundi UMNO akan terus menyokong parti itu.

Beliau sebaliknya berpendapat orang yang mengundi UMNO sebelum ini mungkin boleh bertukar arah untuk menyokong PN.

Lih Kang pada masa yang sama bersetuju bahawa PN mempunyai kelebihan dalam penggunaan TikTok.

Walau bagaimanapun, beliau tetap yakin PH-BN dapat mengekalkan kemenangan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, selain melihat Kedah sebagai medan pertempuran yang sengit.

“Kedah pasti akan menjadi rebutan dan dari dahulu sampai sekarang, Kedah merupakan negara yang bertukar-tukar (swing state).

“Dengan kelemahan yang pelbagai di Kedah, Kerajaan Perpaduan berharap pengundi di Kedah akan meluahkan rasa tidak puas hati melalui undi mereka,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Mengenai isu Kerajaan Perpaduan, Lih Kang berkata, sebagai parti pemerintah, partinya tidak lagi berbicara mengikut isu secara bombastik, tetapi perlu berbincang tentang dasar dan pembangunan.

Katanya, selain cara kempen konvensional, pihaknya juga akan mementingkan penggunaan media sosial, walaupun mengakui PN mempunyai kelebihan dalam TikTok.

Katanya, sokongan orang muda juga terbahagi kepada orang Melayu yang menyokong PN dan bukan Melayu yang  menyokong PH, seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya umum lalu.

“Walau bagaimanapun, saya tidak dapat merasakan semangat mengundi orang muda dalam pilihan raya kali ini.

“Susulan daripadanya, kami boleh menjangkakan peratus keluar mengundi yang rendah,” katanya.

Menurutnya, menteri-menteri berusaha mendekati orang muda dan berharap dapat menawan hati mereka melalui isu ekonomi.

Tambahnya lagi, peratus keluar mengundi yang rendah adalah tidak baik untuk kedua-dua belah pihak. – MalaysiaGazette