Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

PENDANG – Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah perlu bijak membuat pilihan sama ada mahu kekalkan kerajaan negeri kepada pembangkang ataupun memilih untuk bersama-sama dengan kerajaan pusat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, banyak faedah kepada rakyat Kedah diperoleh sekiranya memberi kemenangan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu ini.

“Jadi pengundi kena bijak mengundi kerana kalau sekiranya bersama dengan kerajaan pusat faedah dan manfaat akan dapat kepada negeri yang berkenaan.

“Kalau Kedah dengan kerajaan persekutuan saya percaya banyak lagi projek-projek yang akan sampai ke negeri Kedah ini,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam program bersama Menteri Besar Pahang di Awara Chalet bersama calon PH-BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu, Datuk Mahfuz Omar.

Jelas Naib Presiden UMNO itu lagi, banyak kelebihan bagi Kedah sekiranya berada di bawah naungan Kerajaan Perpaduan antaranya mudah untuk Menteri Besar yang baharu untuk berurusan secara terus dengan Perdana Menteri.

Malah segala permasalahan yang dihadapi oleh negeri tu akan segera diselesaikan kerana berada dalam gabungan yang sama.

“Bila Persekutuan dan Negeri sama sudah tentu apa jua yang disuarakan kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan akan dilayani dan cuba dipenuhi oleh kerajaan pusat.

“Ini kerana negeri-negeri ini banyak bergantung kepada kerajaan pusat terutamanya dari segi peruntukan dan sebagainya.

“Kita banyak bergantung kepada kerajaan persekutuan jadi kerajaan persekutuan pun ada kriteria tertentu juga untuk bantu dan saya percaya sudah tentu akan diberikan keutamaan kepada negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan,” katanya. 

Ditanya samada gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) akan dapat merampas kerajaan negeri, Wan Rosdy berkata, ia tidak mustahil kerana rakyat di beberapa negeri yang menghadapi PRN dilihat mula menerima gabungan itu.

“Mereka merasakan selepas BN mengumumkan manifesto harapan yang ingin diberikan kepada rakyat contohnya kahwin kali pertama dapat RM2,000, cukai pintu dan cukai tanah dan akan menubuhkan universiti hafazan di Kelantan nampak sangat perubahan kerana mereka merasakan bahawa di Kelantan 33 tahun tidak ada satu perancangan pun.

“Saya nampak begitu positif terutamanya selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan subsidi harga padi yang telah begitu lama tidak diumumkan. Subsidi ini disalurkan terus kepada rakyat,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. bagus “bunyi” Mat SAKAU ni sembang.. banyak projek-projek boleh dibuat sebenarnya banyak projek akan di SAKAU.
    masalah Negeri diurus oleh Pusat itu kerja MB dan exco… permohonan GERAN TANAH rakyat kepada MB UMNO sehingga 3 jenerasi permohonan telah MATI apa cer? MB PAS tahu pemohon itu akarumbi UMNO tapi dengan adilnya geran telah diberi milik. Ahli UMNO Pahang berapa orang dah dapat selepas kematian jenerasi permohonan? kera jika tidak tahu membelek bunga itulah akibat ditanggung rakyat

Comments are closed.