Anwar.

BALIK PULAU – “Saya tak setuju dengan itu ia adalah ‘flawed analysis’ (analisis cacat). Mungkin mereka ambil perbandingan antara negeri Kelantan dan Selangor,” ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung soal selidik Ilham Centre yang dilaporkan sebuah portal dalam talian yang mana hanya 24 peratus orang Melayu menyokong beliau.

Jelas Anwar, kaji selidik itu mungkin hanya mengambil kira pandangan penduduk Kelantan dan tidak memasukkan penduduk Selangor.

“Saya tak setuju dengan itu ia adalah ‘flawed analysis’ (analisis cacat). Mungkin mereka ambil perbandingan antara negeri Kelantan dan Selangor.

“Banyak lagi negeri kami lakukan dengan sangat baik. Kami sangat optimis (sokongan pengundi Melayu),” katanya ketika ditemui pemberita ketika ditemui di Masjid  Qaryah Kampung Perlis di sini, hari ini.

Anwar menyantuni jemaah sebaik selesai menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Qaryah Kampung Perlis, Balik Pulau hari ini.

Semalam, portal berita dalam talian itu melaporkan kaji selidik Ilham Centre melibatkan 2,416 responden yang dipilih secara rawak di enam negeri PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Kaji selidik itu menunjukkan hanya satu daripada empat orang Melayu di negeri yang mengadakan pilihan raya esok, berpuas hati dengan prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Qaryah Kampung Perlis di sini, hari ini.

Beliau turut mendengar khutbah bertajuk ‘Istiqamah berubah ke arah kebaikan’ yang disampaikan imam jemputan, Muhammad Arief Bakri di masjid tersebut.

Anwar melambaikan tangan ke arah orang ramai sebelum bergerak untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar China, Wang Yi.

Selepas menunaikan solat Jumaat yang dimamkan individu sama, Perdana Menteri meluangkan masa beramah mesra dengan para jemaah selain sempat memotong dan menjamah pulut kuning yang disediakan penduduk sempena sambutan hari lahirnya semalam.- MalaysiaGazette