Sanjeevan (tengah) hadir berkempen di Dun Dengkil dengan rata-rata pengundi India hadir.

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak tertentu menaikkan kain rentang berbaur perkauman dengan meletakkan nama Perikatan Nasional (PN) menunjukkan mereka sudah terdesak dan tidak senang duduk.

Menurut Ketua Penerangan Sayap Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan, kempen kotor itu dilakukan pihak tidak bertanggung jawab selepas melihat sokongan bukan Melayu terutamanya masyarakat India terhadap PN semakin meningkat.

Tambah beliau, sejak kempen bermula, semua program dan ceramah PN terutamanya di Selangor mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat khususnya di Selangor.

Malah, PN sendiri terkejut melihat sokongan yang diterima daripada pengundi di Pulau Pinang.

“Saya sendiri turun jelajah untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, sokongan dan momentumnya cukup mengejutkan dan menggembirakan. Rata-rata yang menyokong kita bukan sahaja dalam kalangan Melayu tetapi anda dapat lihat juga bagaimana India, Cina malah Orang Asli juga sokong kita.

“Nampak seperti omong kosong, tetapi ini dapat diterjemahkan pada hari mengundi esok.

“Kami dalam PN sudah melihatnya dalam program, ceramah serta kempen rumah-rumah sejak 29 Julai lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Sanjeevan lagi, ketika ini, bahang kemenangan dan sokongan kuat sudah mula ke arah PN sehingga menyebabkan pelbagai taktik kotor serta tohmahan dilakukan terhadap PN serta calon-calonnya.

“Apa yang kita perlu lawan, kita lawan. Kita perjelaskan kepada rakyat. Biar lawan terus perkecilkan PN kepada rakyat, pengundi dan masyarakat sudah celik. Mereka hanya mahu calon ikhlas dan bekerja, berkhidmat untuk mereka.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengutuk tindakan pihak tertentu yang dikesan menaikkan kain rentang berbaur provokasi perkauman untuk menunjukkan seolah-olah ia dilakukan PN.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, berkata kempen kotor yang didakwa dilakukan pihak lawan tersebut dikesan membabitkan beberapa lokasi termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Kajang dan Sungai Ramal dalam Parlimen Bangi. -MalaysiaGazette